Polis akan memanggil kumpulan yang terlibat dalam pengurusan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, kata Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, pihak polis kini dalam proses untuk mengambil tindakan bagi memanggil pihak yang berkenaan.

“Semalam pun kita (polis) dah bagi kenyataan daripada pengarah CID (Jabatan Siasatan Jenayah). Saya tidak mahu ulas lebih lanjut oleh kerana siasatan itu sedang berjalan… itu saja saya boleh komen.

"Tunggu hasil siasatan. Kita masih lagi menyiasat siapa sebenarnya (yang bawa masuk). Ni dah lama, lebih kurang bulan 9 (September) jadi ia akan ambil masa sedikit untk kita. Akta semalam dah disebut oleh pihak pengarah CID," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Dengkil.

BACA: Chin Peng: Dia bukan boleh buat apa, abu dia sahaja balik - Tun Mahathir

BACA: Kecam, 'laknat' tindakan bawa masuk abu mayat Chin Peng - Zainal Kling

Media sebelum ini melaporkan, abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan Banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak dan satu majlis peringatan yang dihadiri 150 individu turut diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng, yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan mayat atau abu mayat Chin Peng tidak akan dibenar bawa masuk ke negara ini sebagai menghormati keluarga dan waris anggota pasukan keselamatan serta rakyat yang terkorban ketika PKM melancarkan perang gerila untuk menggulingkan kerajaan ketika itu.