Polis mengesahkan lapan bahagian anggota badan manusia yang dibuang ke dalam semak di Kampung Ladang, Krubong dua minggu lalu, adalah milik seorang wanita dan anak lelakinya.

Mangsa dikenali sebagai Nurfazera Bidin, 27 tahun dan Muhammad Iman Asraf Abdullah, 11 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, identiti berkenaan disahkan menerusi keputusan laporan rasmi sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Keputusan DNA sudah diterima semalam dan memang sah bahawa si mati merupakan dua beranak yang dilaporkan dibunuh itu.

“Kita sahkan menerusi kesepadanan laporan DNA yang diambil daripada beberapa waris,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Suspek kerat lapan tubuh manusia direman tujuh hari

BACA: Reman suspek kerat lapan disambung

BACA: Terlalu marah dipercayai punca pembunuhan kejam dua beranak

BACA: Mayat dikerat: 'Henti tular gambar adik dan anak buah saya!' - Kakak

Mengulas lanjut, Nor Yhazid ketika diminta mengulas keputusan ujian saringan air kencing terhadap suspek jturut mengesahkan ia negatif.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek disahkan negatif.


“Kita (pihak polis) sedang melengkapkan siasatan sepenuhnya sebelum merujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri bagi proses pendakwaan,” tambahnya.

10 Oktober lalu, Astro AWANI melaporkan polis menemui lapan bahagian anggota badan manusia dipercayai milik lebih seorang individu yang dibuang ke dalam semak di Kampung Ladang, Krubong.


Kemudian seorang suspek warga Singapura yang ada hubungan dengan kedua-dua mangsa direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua kepala dipercayai milik dua beranak itu juga turut ditemui di siling sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan dua beranak itu.