Polis sedang mengenal pasti identiti dan hubungan kesemua tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah Perodua Alza dan treler di Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands petang Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, semua mereka berasal dari Kampung Badlishah Mukim Terap Serdang, Kedah.

"Dalam kejadian itu, mangsa yang maut adalah dua lelaki dewasa, wanita dewasa (dua), wanita warga emas (seorang) kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing seorang.

"Tiga lagi mangsa yang parah iaitu dua kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki dewasa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Kita akan nyatakan nama mangsa dan maklumat lanjut selepas menghubungi keluarga mereka. Kita masih menjalankan siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pada Selasa malam.

BACA: Tujuh maut, tiga cedera kemalangan di Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands

Sementara itu, beliau berkata siasatan awal mendapati Perodua Alza itu dipercayai dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands untuk pulang ke Kedah.

"Bagaimanapun kenderaan yang dinaiki mereka telah terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah treler yang dalam perjalanan dari Simpang Pulai ke Cameron Highlands.

"Kita percaya treler itu cuba elak ke kiri tetapi tetap berlanggar dengan kenderaan mangsa," katanya.


Dalam pada itu beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian tersebut untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan tujuh termasuk dua kanak-kanak maut di tempat kejadian manakala tiga lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah treler dan Perodua Alza di Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands.