Polis sedang menyiasat kejadian Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris yang diserang sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, polis memandang serius insiden itu dan akan memanggil pihak yang terlibat dalam masa terdekat.

Jelasnya, saksi dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil segera bagi membantu siasatan.

"Kita sedang menyiasat insiden ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Polis dalam pada itu menyeru orang ramai supaya tampil bagi membantu kita dalam siasatan kes," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang Isnin, Wan Mohamad Azri atau dikenali sebagai Papagomo dikatakan dihampiri lebih 10 lelaki yang menuntutnya supaya meminta maaf atas tindakannya mengoyak kertas tertera gambar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

BACA: Papagomo cuba diserang sekumpulan lelaki di KKIA

BACA: Dakwa 'diserang' di KKIA, Papagomo buat laporan polis

Beliau dikatakan berbuat demikian ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis baru-baru ini.

Insiden tersebut berlarutan dengan sekumpulan lelaki dikatakan cuba bertindak agresif dan berlaku adegan tolak menolak sebelum dileraikan pihak polis.

Beberapa video turut diambil oleh orang awam yang secara kebetulan berada di KKIA, sebelum tular di laman sosial.



Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Loretto Padua menafikan pembabitan parti tersebut dalam insiden berkenaan.

Jelasnya, Warisan tidak menyokong anasir dan budaya samseng yang cuba dibawa ke negeri ini.

"Walaupun Papagomo menunjukkan aksi samsengnya sebelum ini sehinggakan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pelbagai pihak, namun ini tidak bermakna kita perlu meletakkan maruah kita serendah beliau.

"Warisan tidak berkompromi dengan budaya samseng," katanya dalam satu kenyataan.