Polis berjaya menahan semula seorang tahanan lelaki yang meloloskan diri dari van polis petang semalam, semasa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan, tahanan yang berusia 28 tahun itu ditangkap semula hasil kecekapan dan maklumat awam yang diterima pihaknya.

Katanya, suspek ditahan di kawasan sebuah premis di Taman Muhibah Jaya, Jalan Wan Ahmad, pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi dia melarikan diri, iaitu di Jalan Kubur Tanah Merah.

Ketika ditangkap, suspek yang sebelum itu ditempatkan di Penjara Pengkalan Chepa, telah menukar pakaian dengan memakai baju-T berwarna hijau dan seluar putih.

Ketika ditemui, dia berada dalam keadaan sihat.

"Apabila melalui jalan tersebut, van yang memuatkan OKT tersebut terpaksa memperlahankan kenderaan kerana di hadapannya ada sebuah kereta Kancil yang berhenti mengambil penumpang.

"Jadi, semasa kita memotong perlahan, semasa itulah dia terjun daripada van, setelah meloloskan tangan yang digari daripada yang kita gari secara berantai," kata Hasanuddin.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Semalam, pihak polis melancarkan Op Tutup dan Op Kesan bagi menahan tahanan itu, yang meloloskan diri dari van yang membawa lima tahanan, pada jam 5.25 petang.

Terdahulu suspek yang berasal dari Kampung Nibong, Tanah Merah, mempunyai 17 rekod lampau pelbagai kesalahan termasuk pecah rumah, curi kenderaan dan sebagainya.

Suspek ditahan di Penjara Pengkalan Chepa sejak Januari lalu kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.