Polis menembak mati seorang penjenayah yang paling dikehendaki dalam satu kejadian tembak-menembak di Simpang Lima berhampiran Pekan Gurney, Air Tawar di sini awal pagi tadi.

Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak, SAC Gan Tien Kee berkata, penjenayah berumur 29 tahun itu dikehendaki polis kerana mempunyai lima rekod kesalahan jenayah termasuk satu kes percubaan membunuh.

Menurut beliau dalam kejadian jam 3.15 pagi itu sepasukan peronda polis pencegah jenayah diketuai Inspektor Guldip Singh telah mengejar sebuah kereta Proton Waja yang dipandu penjenayah itu sebelum kereta berkenaan terbabas di kawasan Simpang Lima.

Katanya, pasukan polis yang cuba menghampiri kereta berkenaan terpaksa mempertahankan diri dengan melepaskan tiga das tembakan setelah pemandu kereta terbabit melepaskan satu das tembakan ke arah mereka.

Menurut Gan lagi, dalam pemeriksaan yang dijalankan polis turut menemui sepucuk pistol , lima butir peluru hidup dan sebilah parang di dalam kereta berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di sini pada hari ini.