PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16 manakala 27 Jun 2026 sebagai hari penamaan calon.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun dalam satu sidang media di Menara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini mengumumkan hari mengundi awal bagi PRN DUN Johor akan diadakan pada 7 Julai 2026.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan bagi PRU DUN Negeri Sembilan ke-16 pula, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai 2026 manakala hari mengundi pada 1 Ogos 2026.
“Hari undi awal bagi Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai 2026,” katanya.
Tambah beliau tempoh berkempen bagi PRU DUN Johor berlangsung selama 14 hari bermula 27 Jun sehingga 10 Julai 2026, manakala bagi Negeri Sembilan bermula 18 Julai sehingga 31 Julai 2026.
Beliau turut memaklumkan permohonan undi pos bagi PRU DUN Johor ke-16 dibuka pada 5 Jun 2026.
“Tarikh tutup permohonan undi pos adalah pada 24 Jun 2026 bagi kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media.
“Bagi kategori 1B (warganegara Malaysia di luar negara) dan kategori 1C (agensi atau organisasi), tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 19 Jun 2026,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pengumuman tarikh-tarikh penting berkenaan menyaksikan perhatian kini tertumpu kepada persiapan parti-parti politik, pemilihan calon serta kesiapsiagaan SPR dalam memastikan proses pilihan raya berjalan lancar, teratur dan telus.