Berita  |  Malaysia

Polis tolak permohonan debat Tun Mahathir-Nazri

Polis tolak permohonan debat Tun Mahathir-Nazri
Polis menolak permohonan acara debat Tun Mahathir dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz anjuran Kumpulan Media Karangkraf. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis menolak permohonan acara debat anjuran Kumpulan Media Karangkraf yang akan diadakan di antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Acara berkenaan sebelum ini dilaporkan akan berlangsung Sabtu ini, 25 Mac 2017, bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Kati, Kuala Kangsar.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata permohonan berkenaan ditolak atas empat sebab iaitu lewat mengemukakan borang pemberitahuan sepertimana yang termaktub di bawah Seksyen 9(1) APA 2012 iaitu penganjur perlu membuat pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah 10 hari sebelum perhimpunan.
BACA: Nazri bidas polis, persoal mengapa tolak permohonan debat

"Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq hanya menerima permohonan penganjur pada jam 3 petang 20 Mac 2017 (Isnin)," kata Hasnan dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, tempat perhimpunan yang dipilih iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar merupakan kawasan sekolah dan ia adalah satu tempat larangan mengikut Jadual Pertama (Seksyen 3) akta sama.

Dalam kenyataan itu, Hasnan berkata bahawa pihaknya juga menerima bantahan secara bertulis iaitu lapan laporan polis yang dibuat oleh orang awam dan penduduk sekitar yang bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga. 

“Ia adalah bantahan daripada orang-orang yang berkepentingan dalam mengikut akta berkenaan.

"Jadual akta sama juga jelas menyatakan perhimpunan atau dialog seperti ini tidak termasuk dalam perhimpunan yang dibenarkan," katanya.

Tambahnya, polis sudah memaklumkan perkara itu kepada penganjur pada Isnin dan akan menjelaskannya secara bertulis hari ini.