Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), salah satu panel yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menuntut agar dua pegawai SPRM yang ditukarkan tugas ke Jabatan Perdana Menteri, dikembalikan semula dengan serta-merta.

Pengerusi PPPR, Tan Sri Johan Jaafar berkata ini adalah supaya dua pegawai tersebut – Pengarah Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin, dan Pengarah Komunikasi Strategik Datuk Rohaizad Yaakob – dapat meneruskan tugas masing-masing di SPRM.

Dalam pada itu, Johan berkata PPPR memuji pendirian Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menawarkan diri sebagai pengganti pertukaran kepada kedua-dua pegawai kanan terbabit yang hanya bertindak atas arahannya.

"Meskipun PPPR berpendapat bahawa pendirian Datul Seri Shukri ini sesuatu yang terhormat, tetapi tidak perlu sama sekali," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata PPPR terkejut dengan tindakan menukar dua pegawai kanan SPRM pada hari Jumaat.

Beliau percaya pertukaran tersebut pasti akan meningkatkan suasana tegang yang disaksikan sekarang.

"Malah, pertukaran ini akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan dan ia akan mewujudkan lebih banyak syak wasangka dan teori konspirasi," katanya.

Tambahnya, PPPR menyokong saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu sebarang bentuk 'intimidasi' dan tindakan terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM dihentikan.

Bahri dan Rohaizad sebelum ini antara pegawai yang menyiasat akaun syarikat SRC International Sdn Bhd, sebuah entiti yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Difahamkan, kedua-dua mereka telah melaporkan diri di JPM petang semalam setelah mendapat surat pertukaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurut sumber, surat daripada JPA itu memaklumkan bahawa kedua-dua mereka dikenakan tindakan tatatertib dan dipindahkan.