Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Mohd Najwan Halimi menyifatkan cadangan melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) satu idea lapuk.

Katanya, ia peninggalan kerajaan lama yang ditolak pakar bahasa, oleh itu, jemaah menteri sepatutnya menolak cadangan yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lalu.

"Gesaan itu merupakan idea lapuk peninggalan kerajaan lama yang telah ditolak oleh mana-mana pakar bahasa, sama ada bahasa asing mahupun bahasa ibunda.

"Sangat penting agar seluruh Jemaah Menteri menolak gesaan Pemangku Menteri Pendidikan ini di dalam mesyuarat kabinet, dengan tidak membiarkan ia datang daripada seorang yang pada masa sama merupakan Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Malah, katanya, cadangan berkenaan tidak termasuk di dalam manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

BACA: Dasar PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara - PM

BACA: Biar kabinet bincang isu PPSMI - Anwar

BACA: Amanah tolak cadangan PPSMI tetapi terbuka untuk berbincang - Khalid Samad

"Antara kajian segera yang perlu dilakukan dan mencapai persetujuan bersama adalah seperti pengukuhan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta sekolah kebangsaan satu aliran yang perlu mengajar Bahasa Kebangsaan dan bahasa ibunda – seperti bahasa Cina, bahasa Tamil dan lain-lain – yang perlu kepada rakyat Malaysia," tambahnya.

Kerajaan juga, tegasnya, wajar memastikan semua dasar utama melalui mesyuarat kabinet sebelum dikemukakan kepada umum.

"Cara ini akan memastikan pentadbiran dan komunikasi kerajaan dilaksanakan dengan lebih teratur.

"Perlawanan kepada dasar bahasa Inggeris untuk pembelajaran sains dan matematik yang pernah disaksikan di era kerajaan Barisan Nasional adalah beban yang tidak perlu kepada kerajaan Pakatan Harapan di era Malaysia baharu," tambah beliau.