Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

PPSMI mantapkan penguasaan bidang sains di peringkat sekolah - Tun M

PPSMI mantapkan penguasaan bidang sains di peringkat sekolah - Tun M
DR MAHATHIR: Bagi saya penguasaan bahasa Inggeris dalam bidang sains amat penting kerana ia bukan ilmu yang datang dari kita. -Gambar fail
PENGAJARAN dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah bertujuan memantapkan penguasaan bidang sains bermula di peringkat persekolahan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata menguasai bidang sains, rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bidang itu berkembang di negara barat melalui bahasa tersebut.
"Bagi saya penguasaan bahasa Inggeris dalam bidang sains amat penting kerana ia bukan ilmu yang datang dari kita. Ia datang dari luar hasil daripada budaya yang berlainan daripada kita.

"Budaya kita dahulu apabila berhadapan dengan masalah, kita salahkan kuasa ghaib dan makhluk halus. Itu pendekatan kita.
"Tetapi pendekatan saintis mereka ingin tahu apa sebenar berlaku dengan membuat penyelidikan," katanya menerusi temu bual eksklusif bertajuk #PMJawab keluaran The Malaya Post pada Sabtu malam.

Dr Mahathir, yang juga Pemangku Menteri Pendidikan berkata, saintis negara barat sentiasa berusaha mencari kebenaran terhadap sesuatu masalah melalui proses penyelidikan dan berkongsi setiap penemuan dalam bahasa Inggeris.

BACA: PPSMI: Ambil langkah berani, demi masa depan anak-anak - PAGE




"Hari-hari mereka keluarkan pendapat (penemuan) baharu yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Memang kita boleh terjemah tetapi kita kena fasih (faham) bidang sains. Kalau tidak faham, kita tidak boleh terjemah ke dalam bahasa Melayu," katanya.

BACA: Pelaksanaan PPSMI perlukan masa 5 hingga 10 tahun - Pakar akademik

Justeru, beliau berpendirian bahawa perkara itu perlu diterima semua pihak sekiranya ingin melihat negara maju ke hadapan.

Buat masa ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk pelaksanaan PPSMI di sekolah dan menurut Dr Mahathir, kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin.

Menerusi temu bual selama hampir sejam itu, Dr Mahathir turut ditanya mengenai model Sekolah Wawasan yang pernah dilancarkan bawah pentadbirannya sebagai perdana menteri keempat pada 1997, beliau berkata walaupun agak sukar untuk diperkenalkan namun ia menjadi pusat perpaduan antara kaum di negara ini.

"Bila ada sekolah seumpama ini, kita akan ada tiga sekolah dalam satu kampus. Walaupun guna bahasa berlainan tetapi apabila ada perhimpunan waktu pagi mereka akan berkumpul bersama, bersukan bersama di dalam satu pasukan campuran. Dengan ini, pelajar dapat berjumpa dan berhubung," katanya.

Menyentuh senario politik pula, Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan prinsip demokrasi dalam setiap agenda yang ingin dilaksanakan menerusi perbincangan bagi mencapai kata sepakat daripada kesemua parti dalam PH.

"Suasana politik sekarang sudah berubah, tidak macam dahulu. Sebab dahulu parti berkuasa adalah UMNO sehingga mereka boleh buat apa sahaja, sehingga ada pemimpin buat silap tetapi masih kekal," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau turut mengamalkan prinsip terbuka untuk mendengar pendapat daripada semua pihak seperti parti lawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang berasaskan kaum, serta badan-badan agama.

"Kalau saya tidak tahu pendapat mereka, maka masalah yang timbul tidak dapat ditangani oleh saya. Itu yang berlaku.

"Tapi ada orang yang mentafsirkan perjumpaan saya dengan pemimpin parti lawan bermakna saya sedang berusaha membuat parti campuran yang baharu. Ini tidak benar," katanya mengulas mengenai kemungkinan tertubuhnya kerajaan baharu.

-- BERNAMA