Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan rakyat perlu mengutamakan kejayaan sebagai satu bangsa dengan bukan sekadar melalui bahasa sendiri sahaja.

Tegasnya, sayang kepada bangsa perlu diterjemahkan melalui kemajuan masyarakat yang sentiasa bersaing.

Justeru, beliau mahu rakyat berfikir semula mengenai kepentingan menggunakan bahasa lain yang sekali gus memberi banyak manfaat kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Saya Melayu. Saya sayang kepada bangsa dan bahasa Melayu. Tetapi kita perlu beri pertimbangan kepada kemajuan bangsa. Sebenarnya jika sayang kepada bangsa, utamakan kejayaan sebagai satu bangsa dan kemajuannya lebih dari hanya kegunaan bahasa sendiri sahaja.

“Fikirlah baik-baik. Pepatah berkata 'sayang anak, tangan-tangankan, sayang isteri, tinggal-tinggalkan'; sayang bangsa utamakan kejayaan bersaing lebih dari hanya bertutur kata dalam bahasa sendiri,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat dan Aspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Khamis.

Beliau merujuk kepada cadangan menimbang semula pelaksanaan PPSMI ke dalam pendidikan negara.


Tambahnya, Sains dan Matematik bukan hasil terokaan dalam bahasa ibunda negara memandangkan hampir semuanya datang dalam Bahasa Inggeris.

“Kita boleh terjemah ke bahasa kita tetapi pendekatan kita berbeza dalam bidang ini. Sains adalah hasil dari hasrat menentukan sesuatu yang sebenar.

“Sebelum Sains, apabila kita berhadapan dengan fenomena yang kita tidak tahu asasnya, maka kita akan salahkan kuasa ghaib yang tidak dapat ditangani oleh kita.

"Sains lebih suka mencari sebab yang sebenar dan membolehkan penyelidikan dan perubatan boleh dikenal pasti.

“Mentaliti yang berpegang kepada kuasa ghaib mungkin mengubat dengan cara membakar kemian dan menghembus.

“Kita perlu berdoa tetapi ingatlah Tuhan tidak akan memakbulkan permintaan kita jika kita tidak berusaha sendiri terlebih dahulu. Usaha kita tentulah dengan diasaskan kepada yang benar,” ujar beliau.

BACA: Dasar, hala tuju KPM selaras agenda Wawasan Kemakmuran Bersama

BACA: Belum buat keputusan dah bocor, PPSMI sebenarnya masih dalam pertimbangan - Tun Mahathir


Kata Perdana Menteri, sains boleh diterjemah kepada bahasa ibunda, namun perkataan-perkataan yang diguna bukanlah bahasa Inggeris biasa.

“Terjemahan kepada bahasa kita mungkin tidak menggambarkan makna yang sebenar. Lagi pun sains bukan ilmu yang statik. Tiap hari ada sahaja perkara baharu yang di kenali dan diperalatkan. Untuk memahami, dan menterjemah dan tafsir ke dalam bahasa kita amatlah sukar. Tidak mungkin kita punyai pakar sains yang akan terjemah hasil selidik berpuluh-puluh kertas selidik dalam pelbagai bidang tiap hari,” tambah beliau.

Malah, jika negara tidak mempunyai ilmu yang terbaharu, Malaysia akan ketinggalan.

“Kita semua tahu hari ini terdapat banyak hasil selidikan tiap hari. Banyak perkataan baru yang dicipta. Di Malaysia terdapat tiga kaum dengan mengguna bahasa mereka untuk mengajar. Jika bahasa Kebangsaan diguna untuk mengajar Sains dan Matematik dalam sekolah Kebangsaan maka sekolah Cina akan guna bahasa Mandarin dan India guna bahasa Tamil.

“Dalam bidang sains ahlinya perlu berbincang sesama mereka masalah sains yang ditemui. Mungkinkah mereka yang berbahasa Kebangsaan, Mandarin dan Tamil berbincang sesama mereka,” kata Dr Mahathir.


Malah, ketika ini, mereka yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris sukar mendapat kerja.

“Konferensi sains antarabangsa kerap diadakan. Biasanya Bahasa Inggeris menjadi bahasa konferensi. Jika pakar sains kita tidak fasih dalam Bahasa Inggeris, Sains, maka kita tidak mungkin faham perbincangan yang diadakan,” ujarnya.