Program YPN platform pupuk semangat patriotisme rakyat

Program YPN platform pupuk semangat patriotisme rakyat
Simbolik penyerahan baju PATRIOT daripada Mohd Al Iman Zakaria (empat dari kiri) kepada Duta Kempen Semangat Patriot Merdeka 2019, Azman Nasrudin (tiga dari kiri) di satu majlis di Kedah pada Khamis - Gambar YPN
KUALA LUMPUR: Perancangan Yayasan Patriot Negara (YPN) dalam pelbagai program, kempen dan aktiviti menjadi platform memupuk dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa, warna kulit, keturunan mahupun agama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Al Iman Zakaria menjelaskan, pelbagai aktiviti dijalankan selama ini membabitkan agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga institusi pengajian tinggi bagi memupuk semangat sukarelawan dan cinta negara dalam kalangan belia.

“Kita juga perlu bersama-sama menghayati semangat kental pejuang-pejuang kemerdekaan yang sangat bererti sejak dahulu.

“Tanpa jerih perjuangan mereka, tiadalah kejayaan dan kemajuan negara kita sebagai sebuah negara yang bebas merdeka,” katanya.
Mohd Al Iman memberitahu, ucapan itu dibacakannya dalam majlis pelancaran Kempen Semangat Patriot Merdeka 2019 di Sungai Petani, Kedah pada Khamis.

BACA: Memberi nafas baharu kepada perpaduan

BACA: Hari Sarawak, Hari Malaysia, Hari Kebangsaan

Dalam pada itu katanya, antara program di peringkat antarabangsa yang pernah disertai YPN adalah
KL Tower Base Jump International 2018, KL International Towerthon 2019, Misi Tawan 30 Menara di Thailand bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Misi Tawan 30 Menara di Indonesia bersama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

“Manakala di peringkat kementerian, YPN turut serta dalam Program Food Bank bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Kembara Rahmah Nur Ramadhan menaiki kenderaan pacuan empat roda Patriot yang dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

“Selain itu, YPN juga menyertai Program Titik Perpaduan di Hati - Kami Prihatin yang dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin,” katanya.

Katanya lagi, semangat patriot bukan hanya dengan mengibarkan bendera, tetapi melalui setiap pergerakan dan kelakuan rakyatnya kepada negara.

“Semua perlu amanah dalam melakukan kerja, menjaga kebersihan sekeliling dan hidup dalam keharmonian. Ia bertepatan dengan tema sambutan merdeka pada tahun ini iaitu 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih'.

“Oleh kerana itu juga, semua pihak perlu mempertahankan kedaulatan negara melalui semangat Patriot Merdeka di bawah satu bendera,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Al Iman menjelaskan, promosikan plat khas 'PATRIOT' dilanjutkan sehingga 30 November depan bagi menampung dana aktiviti mereka pada masa hadapan.

Tambahnya, rakyat yang berminat boleh melayari www.plat.patriot.org.my untuk maklumat lanjut mengenai plat khas berkenaan.

Tag: Mahathir Mohamad, Mohamad Sabu, Bersih, Merdeka, NGO, Ramadan, bank, perpaduan, amanah, kerajaan, menteri


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.