Polis menahan lima lelaki warga India dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pemprosesan dadah syabu di Linggi dan Teluk Kemang dekat sini dalam operasi bermula Jumaat lepas sehingga pagi semalam .

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata polis turut merampas dadah bernilai RM2.4 juta dan peralatan serta bahan-bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah syabu.

"Operasi ini melibatkan tiga serbuan oleh JSJN Bukit Aman dan Negeri Sembilan, yang bermula pada Jumaat lepas pukul 6.20 petang dan berakhir semalam pukul 2.15 pagi.

"Serbuan pertama, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dan seorang lelaki warga India berusia 30 tahun di sebuah kampung di Rantau.

"Hasil tangkapan kedua-dua suspek membawa kepada pembongkaran sebuah kandang kambing di dalam ladang kelapa sawit di Linggi yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohmad berkata serbuan di kandang kambing itu membawa kepada penahanan empat lagi lelaki warga India berusia 27 hingga 40 tahun dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.

"Di kandang kambing itu, polis turut merampas 4.3 kilogram (kg) ketulan kristal dipercayai syabu, 43.7kg cecair meth oil dan 50kg serbuk bahan kimia yang akan digunakan dalam proses membuat dadah itu.

"Sejurus itu, kira-kira 20km dari lokasi kandang kambing, polis telah menyerbu sebuah rumah di Teluk Kemang yang juga digunakan untuk memproses dadah jenis syabu dalam skala yang kecil," katanya.

Beliau berkata di rumah tersebut, polis telah merampas 150g ketulan kristal dipercayai syabu, 1.3kg meth oil dan sejumlah serbuk disyaki bahan kimia untuk memproses dadah.

Mohmad berkata polis percaya dadah yang diproses itu untuk pasaran tempatan dan berdasarkan daripada jumlah bahan-bahan yang dirampas, jika siap diproses sebanyak 23kg syabu dapat dihasilkan untuk kegunaan 115,000 penagih.

Siasatan awal mendapati keenam-enam suspek, yang direman selama tujuh hari sehingga Jumaat depan, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis masih menyemak rekod kemasukan suspek warga India sama ada secara sah atau tidak, katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA