Perbicaraan kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam terpaksa ditangguhkan awal selepas saksi mengadu 'sakit perut' akibat keracunan makanan.

Hakim Datuk Azmi Ariffin kemudian mencadangkan saksi kesembilan iaitu Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz pergi ke klinik bagi memastikan beliau cukup sihat untuk memberi keterangan.

"Ini penting supaya perjalanan kes tidak terganggu," kata beliau.

Atas sebab itu, sesi petang perbicaraan kes tamat awal sekitar jam 3.15 petang dan akan disambung semula pada pagi Khamis.

Pada sesi petang, Wan Azirul Nizam diminta Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin untuk memberi keterangan berhubung pergerakan Jong Nam sebaik sahaja mangsa tiba di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sehingga dia dibawa ke tempat rawatan kecemasan di klinik dalam bangunan tersebut.

Perbicaraan kes ini dijadualkan berlangsung selama 23 hari.