Pusat dobi layan diri tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, larangan itu dibuat bagi mengelakkan orang ramai berkumpul.

"Dobi layan diri tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengelakkan orang ramai berkumpul," kata jurucakap KPDNHEP dalam satu kenyataan berkaitan soalan lazim berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dalam sektor peruncitan.

Dalam pada itu, katanya pasar malam dan pasar tani juga tidak dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, beliu menjelaskan pusat pengedaran yang terbabit dalam pembekalan barangan keperluan dan makanan dibenarkan untuk terus beroperasi.

Katanya, restoran dan medan selera pula boleh dibuka tetapi hanya untuk pesanan makanan yang dibawa pulang dan pandu lalu sahaja, atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu.

Katanya, pasar raya dan pusat beli belah yang menjalankan operasi peruncitan juga boleh diteruskan.

"Kementerian menggalakkan pihak pasar raya melakukan kawalan kendiri bagi menangani pembelian barangan makanan dan keperluan harian dengan jumlah yang tidak munasabah oleh pengguna," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa hari ini sehingga 31 Mac depan.

BACA: COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac - PM

B
ACA:
Ucapan penuh: Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai COVID-19