Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakannya mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Mohd Rafizi sebelum ini membuat kenyataan media berhubung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan mengaitkannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam, Naib Presiden yang juga Setiausaha Agung PKR itu ditahan polis di luar bangunan Parlimen kira-kira 6.20 petang bagi disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Menurut peguamnya R. Sivarasa, beberapa barangan milik anak guamnya seperti komputer, laptop dan telefon bimbit turut dirampas selepas polis mengunjungi ibu pejabat PKR di Damansara serta Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan rumah Mohd Rafizi di Kampung Pandan.

Pada Isnin, LTAT dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaannya mengenai pembayaran gratuiti kepada veteran LTAT.