Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli akan kekal sebagai Ahli Parlimen Pandan sehingga rayuan berhubung sabitan Mahkamah Sesyen hari ini yang menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atasnya kerana didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata meskipun Rafizi telah dijatuhkan hukuman mengikut Perlembangaan Persekutuan, kedudukannya sebagai ahli Parlimen tidak tergugat.

“Kerusi (Parlimen Pandan) tidak dikosongkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Hashim berkata, adalah tidak wajar bagi pihak SPR untuk bercakap mengenai kewajaran mengadakan pilihan raya kecil ketika ini.

“Memandangkan kes ini masih belum selesai, adalah tidak wajar bagi SPR untuk membuat ulasan berkaitan dengan keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

“Tambahan pula dalam kes ini, berdasarkan laporan oleh pihak media bahawa rayuan akan difailkan oleh Yang Berhormat Tuan Rafizi Ramli,” menurut kenyataan itu lagi.

Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Mac lepas.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Rafizi yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

BACA: Rafizi belum bersalah, boleh kemuka rayuan - Azmin Ali

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan ke Mahkamah Tinggi, dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM3,000 kepada RM5,000.