Rakyat sudah menyampah dengan isu pengganti Perdana Menteri ketujuh yang dibicarakan setiap hari.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, keseluruhan rakyat juga sudah tidak mahu tahu siapa pengganti dan bakal Perdana Menteri kelapan.

"Isu pengganti Perdana Menteri dan topik Perdana Menteri kelapan mesti dihentikan dengan kadar segera.

"Tetapi yang paling penting untuk rakyat ialah seorang tokoh Perdana Menteri yang benar-benar berwibawa bagi memulihkan masalah sosio-ekonomi negara secara berkesan serta pantas.

"Kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mula membuahkan hasilnya. Bukan saja rakyat di tanah air kita tetapi warga pelabur luar turut yakin dengan kepimpinan dinamis Perdana Menteri untuk membina semula negara ini akibat dirosakkan Perdana Menteri terdahulu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA: Serah jawatan: Anwar pun tak letak tarikh, kenapa Otai Reformis nak kalut? - Khairuddin

BACA:
"Itu hanya andaian" ulas Anwar mengenai kenyataan Tun M berhubung serah jawatan PM

Kata Khairuddin lagi, perbincangan isu pertukaran Perdana Menteri tidak membawa manfaat langsung kepada rakyat mahupun negara.

"Saya amat bersetuju dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berpendapat peralihan jawatan Perdana Menteri tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana proses itu bukan semudah mahu menukar kasut.

"Presiden Pas dan beberapa tokoh pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga telah menyuarakan pandangan agar Dr Mahathir terus memimpin negara sehingga tamat penggal ini," ujarnya.

Kerana itu Khairuddin berkata, kaedah terbaik ialah menyerahkan kepada Parlimen untuk menentukan siapa yang bakal menerajui negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

"Satu usul khas mesti dibawa di Parlimen agar proses mengundi di kalangan ahli-ahli Parlimen dapat dijalankan secara telus, adil dan mengikut Perlembagaan.

"Ahli-ahli Parlimen mewakili keseluruhan rakyat jelata di Dewan Rakyat. Biarlah wakil-wakil rakyat yang mengundi di Parlimen untuk menentukan kedudukan Perdana Menteri sama ada menyerah kuasa pada pertengahan penggal atau terus memimpin negara sepenuh penggal.

"Masyarakat di peringkat akar umbi pun akan menyokong kaedah ini bagi menentukan kedudukan Perdana Menteri," kata beliau lagi.

Tegasnya, apa saja keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen kelak haruslah diterima secara hati yang terbuka.

"Kaedah pemilihan melalui Parlimen adalah cara terbaik bagi menyelesaikan isu pengganti perdana menteri.

"Saya akan berjumpa dengan semua para sahabat Ahli-ahli Parlimen selepas musim haji ini untuk mendapatkan sokongan cadangan berkenaan," jelas Khairuddin.

Khairuddin turut melahirkan keyakinan untuk mendapatkan majoriti sokongan daripada wakil rakyat bagi menyokong kaedah pemilihan melalui proses Parlimen.