Seorang penoreh getah warganegara Thailand dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyeludup dua wanita Uganda di Padang Besar pada Mac lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar memerintahkan Muhammad Romlee Arong, 40, dari Pattani menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 Mac 2016.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 26G Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rakannya Wan Ahmad Wan Hassan, 42, dari Kuala Kedah, Kedah pula mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama dan minta dibicarakan.

Mengikut fakta kes mereka dituduh menjalankan penyeludupan migran iaitu secara langsung atau tidak langsung dengan menyediakan perkhidmatan atau kemudahan kepada dua rakyat Uganda, Joy Gladys Filly dan Jacintah Nakabuye, yang kedua-duanya berusia 34 tahun.

Mereka ditangkap di Kompleks Imigresen Padang Besar setelah tiba dari Thailand dengan sebuah kereta bernombor pendaftaran Thailand pada 7.45 malam 24 Mac lepas, dengan membawa dua wanita itu memasuki Malaysia tanpa memiliki permit yang sah.

Peguam Rahmatullah Baharudeen yang mewakili Muhammad Romlee merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan tertuduh telah berpisah dengan isterinya dan perlu menyara dua orang anak.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Fazril Sani Mohamed Fadzil sebaliknya meminta hukuman berat dikenakan terhadapnya kerana kerajaan Malaysia memandang berat perbuatan penyeludupan migran selain hukuman itu dijadikan teladan buat yang lain.

Abu Bakar kemudian menetapkan supaya Wan Ahmad, yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Shakir Khairi Othman, dibicarakan pada 24 dan 25 Nov depan. -- BERNAMA