Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Profesor P. Ramasamy melahirkan rasa kesal kerana telah melabelkan tokoh pendakwah Islam dari India, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.

Dalam kenyataan media pada selasa, Ramasamy berkata beliau kesal kerana kenyataan tersebut yang dibuat dalam laman Facebook rasmi beliau telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Kenyataan kekesalan Ramasamy tersebut menyusul lapan jam selepas pusat khidmatnya yang terletak di Taman Chai Leng, Prai telah dilontar molotov cocktail pada awal Selasa.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu disedari seorang petugas pusat khidmat Ramasamy selepas terdengar bunyi letupan di bahagian bawah bangunan dua tingkat itu.

Pemeriksaan mendapati hanya berlaku kebakaran kecil di bahagian pintu premis berkenaan dan satu laporan polis telah dibuat di balai polis Taman Chai Leng sejurus kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor mengesahkan kejadian tersebut dan berkata siasatan masih dijalankan.

Dalam kenyataan medianya, Ramasamy mengakui telah memuat naik status yang melabelkan Dr Zakir sebagai ‘syaitan’ kerana mendakwa pendakwah itu telah menimbulkan kebencian terhadap agama lain, selain dari Islam pada Ahad.

BACA: GPMS P. Pinang kutuk Ramasamy gelar Dr Zakir Naik 'syaitan'

Tidak sesuai

Ramasamy berkata beliau kemudian menyedari yang perkataan ‘syaitan’ itu tidak sesuai dan telah memadamkan perkataan tersebut dari halaman Facebooknya pada hari yang sama.

Bagaimanapun, menurutnya status dengan perkataan ‘syaitan’ tersebut telah menjadi viral di media sosial, menyebabkan beliau dituduh sebagai anti-Islam dan anti-umat Islam.

Justeru, Ramasamy menegaskan beliau tidak berniat menyinggung perasaan umat Islam tetapi ia ditujukan kepada Dr Zakir semata-mata.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan polis tidak membenarkan forum “Persamaan antara Hindu dan Islam oleh Dr Zakir yang dijadual berlangsung di kampus Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ahad ini, diteruskan.

Khalid dilaporkan berkata keputusan itu dibuat ‘demi ketenteraman awam dan sensitiviti agama di Malaysia’.

Astro AWANI juga melaporkan Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh mahu membuat aduan polis di seluruh negara bagi menghalang penceramah kontroversi itu memberi ucapan di negara ini.

Pada Ahad lalu, lebih 30,000 orang memenuhi Stadium Gong Badak di Kuala Terengganu untuk mendengar ceramah pendakwah terkenal dari india itu.