Tutup

Rawi sudah pulang ke rumah

Rawi sudah pulang ke rumah
Rawi (gambar) ditemui anggota keluarganya di lokasi dia dilaporkan hilang pagi tadi. -Foto PDRM
GERIK: Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang Rabu lepas, balik ke rumahnya dengan sendiri di Kampung Agek Hulu, Sungai Temenggor di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa berkata Rawi Semari,10, dari Kampung Jarau Lama Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar ditemui oleh anggota keluarganya di lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 11.30 pagi.

BACA: NUR Alert: Polis mohon bantuan kesan Rawi

Beliau berkata ahli keluarga Rawi telah membawa kanak-kanak itu ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Pos Kemar untuk bertemu dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
"Keadaannya stabil dan tiada kecederaan namun pihak kesihatan Pos Kemar akan merujuk kanak-kanak itu ke Hospital Gerik untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Rawi dilaporkan hilang pada pukul 1 pagi, Rabu lepas setelah bapa saudaranya memaklumkan pada hari kejadian, kanak-kanak lelaki itu tidur dengan neneknya di dalam sebuah pondok, sebelum neneknya menyedari kehilangan Rawi, yang dikatakan mempunyai tabiat sering bangun pada waktu malam dan berjalan.
Polis Gerik yang menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 4 petang hari yang sama, sebelum mengarahkan SAR dijalankan bermula pukul 8 pagi semalam kerana jarak perjalanan ke tempat kejadian mengambil masa enam jam dengan menaiki bot serta berjalan kaki.

-- BERNAMA