RCI Memali: Membuka kebenaran yang akan memperbetul sejarah - Syahrin

RCI Memali: Membuka kebenaran yang akan memperbetul sejarah - Syahrin
SYAHRIN: Memali juga antara perkara penting yang memburukkan hubungan UMNO dan Pas. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi berdarah Memali yang berlaku pada 1985 akan memberikan kebenaran yang akhirnya memperbetul sejarah itu sendiri.

Ketua Pemuda UMNO Tebrau, Datuk Syahrin Jamaluddin berkata, sehingga kini masih ramai antara mereka yang terlibat berupaya untuk tampil membawa penceritaan sebenar

"Memali juga antara perkara penting yang memburukkan hubungan UMNO dan Pas.

"Malah sehingga hari ini, sebahagian besar ahli Pas masih membenci dan menyalahkan pemimpin UMNO ketika itu di atas kejadian ini.

"Ia ditambah lagi pendedahan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam di Kota Bharu beberapa tahun lalu yang jelas bercanggah dengan apa yang menjadi coretan kepada sejarah Memali itu," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.
BACA: PAS Johor lapor ucapan Tun M kaitkan parti dengan Memali

BACA: 
Pas gesa tubuh RCI rungkai peristiwa Memali

Pada awal Januari, Ketua Penerangan Pas Johor, Shamsudin Jaafar, membuat laporan polis mengenai ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan parti itu dengan peristiwa berdarah Memali.

Shamsudin berkata, kenyataan Tun Mahathir yang turut mengaitkan Mufti adalah tindakan jahat dan fitnah besar kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, beliau turut meminta kerajaan segera menjalankan RCI mengenai peristiwa Memali itu supaya kebenaran sebenar dibongkar.

Shamsudin berkata, kenyataan Tun Mahathir hanya dibuat untuk melepaskan diri beliau sendiri kerana ketika peristiwa itu berlaku, dia adalah Perdana Menteri.

Dalam pada itu, jelas Syahrin penubuhan RCI adalah saat untuk semua dapat memahami dengan jelas kedudukan isu sebenar Memali.

"Sebagai pemimpin generasi muda yang tidak sempat memahami secara dekat isu ini, saya menyokong penuh penubuhan RCI agar ia boleh menjadi medan dan penegak keadilan kepada smua pihak.

"RCI perlu ditubuhkan memandangkan ianya isu yang masih samar dari sudut ketelusan di zaman ianya berlaku.

"Bukan sekadar samar kepada rakyat tetapi ianya juga menjadi tanda tanya serta keraguan kepada keluarga mangsa yang menghadapi hukuman ketika itu. Ianya satu tragedi," tegasnya.

Tun Mahathir pada Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini dilaporkan berkata, kegagalan mufti menyangkal fatwa ekstrem yang dikeluarkan Hadi membawa kepada tragedi Memali.

Tun Mahathir turut menyifatkan PAS sebagai parti yang memperalatkan agama sehingga membawa kepada ketaksuban dalam kalangan ahlinya seperti yang berlaku di Memali.