Seorang wanita warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Jalan Datuk Keramat, Jumaat lalu.

Tertuduh Liu Shasha, 24, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan, Liu didakwa memandu kereta dibawah pengaruh alkohol atau dadah menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal itu yang juga seorang pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Jalan Datuk Keramat pada jam 6.25 pagi 25 Oktober lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Seksyen itu juga memperuntukkan denda tidak kurang RM8,000 hingga RM20,000.

BACA: Wanita mabuk rempuh pekerja MBPP hingga maut direman

Rosnee tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 8 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pengesahan ketulenan pasportnya daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Huda Muhammad Nazim manakala tertuduh diwakili peguam A. Ashok.


Sementara itu, seorang lelaki yang juga pemilik kereta berkenaan turut dihadapkan ke mahkamah sama atas kesalahan membenarkan kenderaan itu dipandu Liu.

Tertuduh, Garrett Lim Nian Siang, 23, yang juga seorang tukang masak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Rosnee.

Rosnee kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh yang ketika kejadian turut berada di tempat penumpang hadapan.

Garrett yang juga rakan Liu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 26 APJ 1987 pada waktu dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 atau penjara tiga bulan.

Dalam kejadian itu, kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mohaidin Gani Mohamad, 58, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh Honda Accord dipandu wanita warga China.