Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa Datin Seri Rosmah seolah-olah mengarahkan beliau agar mempercepatkan kelulusan sebuah projek solar hibrid di Sarawak.

Saksi kelima pendakwaan itu dalam keterangannya berkata, arahan oleh bekas isteri Perdana Menteri itu menunjukkan seolah-olah Rosmah mempunyai kepentingan dalam projek tersebut.

Mahdzir berkata demikian ketika memberikan keterangan pada perbicaraan Rosmah berhubung dakwaan penyalahgunaan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak, di sini.

Insiden tersebut katanya berlaku pada 23 Jun 2016 selepas jamuan buka puasa di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

“Semasa saya bersalaman dengan Datin Seri Rosmah sebelum beredar balik, beliau telah memberitahu saya lebih kurang, “You tengok la projek solar Cikgu Aazmey. Cepatkan sikit,” katanya memberitahu mahkamah di sini, pada Khamis.

Cikgu Aazmey yang dimaksudkan ialah Setiausaha Umno Bahagian Pekan, Pahang, Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib.

BACA: Rosmah dibicara: Mahdzir beritahu didesak percepatkan kelulusan projek hibrid solar


Katanya, insiden tersebut telah mengukuhkan kepercayaan beliau mengenai penglibatan Rosmah sebagai salah seorang dalam 'pasukan' Saidi Abang Samsudin, yang merupakan Pengarah Urusan Japek Holdings Sdn Bhd.

Justeru kata Mahdzir, arahan tersebut perlu diambil serius dan perhatian memandangkan ia diberikan oleh Rosmah selaku isteri Perdana Menteri.

Malah, tambahnya Rosmah sebelum ini tidak pernah menghubungi beliau untuk projek-projek kerajaan lain selain projek solar hybrid dan program PERMATA.

Prosiding perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada Isnin.