Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau didesak oleh Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd agar mempercepatkan kelulusan projek hibrid solar.

Saksi kelima pendakwaan itu membuat pengakuan itu pada perbicaraan melibatkan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung dakwaan penyalahgunaan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahdzir berkata, selain Saidi Abang Samsudin, rakan kongsi syarikat tersebut dikenali sebagai Rayyan turut membuat desakan yang sama.

Kata beliau lagi, Rayyan memberitahunya, “Apa susah sangat mahu ikut arahan PM? (Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.”

BACA: Rosmah dibicara: Najib akur diarah keluar mahkamah

BACA: Kes rasuah Rosmah: Saksi keempat diarah isi wang dalam dua beg galas

BACA: Jurufoto SPRM tunjuk gambar lokasi Rosmah terima wang RM1.5 juta

Desakan itu muncul selepas arahan yang dikeluarkan oleh Najib menerusi surat yang diminitkan pada Disember 2015, mengarahkan Mahdzir melaksanakan rancangan Jepak Holdings.

Minit itu ditulis pada surat daripada Jepak Holdings kepada Najib bertarikh 23 November 2015, dengan berkata: "Bersetuju dilaksanakan sistem baharu ini dan batalkan sistem lama."

Mahdzir sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa telah menolak cadangan Jepak Holdings ketika itu kerana kementerian masih mempunyai kontrak yang berterusan dengan kontraktor.


Pada waktu itu, kata Mahdzir mereka membincangkan rancangan syarikat untuk memperkenalkan sistem hibrid solar untuk menghasilkan elektrik bagi kegunaan 369 sekolah di Sarawak.