Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini dikenakan 17 pertuduhan berhubung aktiviti pengubahan wang haram serta tidak mengisytiharkan pendapatan di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 Kuala Lumpur.

12 pertuduhan berhubung transaksi hasil daripada aktiviti haram di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Lima lagi pertuduhan berkaitan kegagalan Rosmah untuk membuat penyata bagi tahun taksiran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri seperti mana tertakluk di bawah Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kesemua pertuduhan ke atas beliau dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi, dan Rosmah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.


Ketua Pendakwaraya Datuk Seri Gopal Sri Ram kemudiannya meminta agar ikat jamin ditetapkan RM10 juta berserta dua syarat tambahan iaitu Rosmah harus menyerahkan pasport miliknya, dan mahkamah perlu melarang beliau dari berjumpa dengan mana-mana saksi pendakwaraya.

Peguambela Datuk Geethan Vincent Ram membantah cadangan itu, kerana ia bertentangan dengan prinsip ikat jamin, iaitu bagi memastikan kehadiran tertuduh sepanjang tempoh pembicaraan.

Beliau berkata, anak guamnya sudah pun dikenakan larangan ke luar negara sejak Mei lepas, dan Rosmah sentiasa patuh kepada mana mana arahan sama ada untuk memberi keterangan, atau dipanggil bicara mahkamah.

Namun cadangan Geethan agar ikat jamin ditetapkan pada RM250,000 ditolak Azura.

Hakim menetapkan kadar ikat jamin pada kadar RM2 juta dengan dua penjamin, dan beliau turut membenarkan agar Rosmah membayar RM500,000 hari ini, manakala bakinya dibayar sebelum atau pada 11 Oktober depan.

Azura turut menetapkan 8 Nov sebagai tarikh sebutan kes.

Terdahulu Rosmah tiba kira-kira pukul 8:28 pagi sambil memakai tudung berwarna oren, kelihatan tenang ketika masuk ke pekarangan kompleks mahkamah ini.





BACA: Rosmah ditahan SPRM, didakwa esok

BACA:
'Rosmah is 'okay', jumpa di mahkamah esok' - Peguam

BACA: Demi Rosmah dan Najib, Lokman adakan himpunan solidariti

BACA: 'Terlalu sedih untuk menangis,' - anak Najib, Rosmah luahkan perasaan