Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mencadangkan lambang keris pada logo parti itu diubah supaya senjata tradisi Melayu berkenaan dilengkapi dengan sarung.

Katanya, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), sambil membuat kiasan mengatakan langkah itu perlu bagi mengelakkan perbalahan sesama ahli parti.

“Jadi, tidak timbul lagi soal masih lagi nak bertikam antara satu sama lain. Saya ingat, nanti saya nak bawa ke cadangan, ke Majlis Kerja Tertinggi.

“Lambang UMNO keris itu mesti kena sarung. Sebab, keris tak bersarung ini, nak berentap dan bertikam sahaja antara satu sama lain. Apabila sudah duduk dalam sarung, keris itu duduk diam-diam,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional (BN) di Rantau, Negeri Sembilan.

BACA: Hentikan spekulasi saya jadi PM, nanti orang akan 'bunuh' saya cepat - Tok Mat

Pada Rabu, Mohamad tegas meminta agar spekulasi tidak sihat dihentikan kerana ia memberi kesan kepada parti.

Ia berikutan spekulasi yang mendakwa beliau akan menjadi Perdana Menteri, dibuat beberapa pemimpin sebelum ini.

BACA: Cucuk, bakar dan kipas, hentikan politik 'sate' - Zahid

Malam tadi, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ceramahnya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau meminta ahli UMNO menolak 'politik sate'.

Politik sate merujuk kepada budaya cucuk-mencucuk pemimpin yang boleh mengakibatkan perpecahan parti.