Tutup

"Saya dan Idham tiada masalah" - Hans Isaac jawab dakwaan tidak sehaluan dengan Idham terajui FINAS

"Saya dan Idham tiada masalah" - Hans Isaac jawab dakwaan tidak sehaluan dengan Idham terajui FINAS
Hans Isaac menafikan dakwaan kononnya hubungan beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri 'panas' dan tidak sehaluan. - Gambar Instagram HANS ISAAC
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Hans Isaac menafikan dakwaan kononnya hubungan beliau  dengan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri 'panas' dan tidak sehaluan.

Menyifatkan, dakwaan sedemikian tidak berasas, Hans, sebaliknya, menegaskan, beliau dan Ahmad Idham masih berhubung, berbual dan berbincang mengenai FINAS serta perihal industri perfileman.
Bahkan, tegas Hans lagi, sekalipun, Ahmad Idham sudah mengemukakan permohonan untuk memendekkan tempoh perkhidmatan, kedua-dua mereka masih bersahabat.

"Biarlah orang-orang dalam industri (filem) bercakap apa sahaja. Sepanjang pengetahuan, saya dan Ahmad Idam masih ada komunikasi yang baik.
"Saya juga baru lepas cakap dengan dia, membincangkan hal-hal yang perlu saya lakukan sebagai meneruskan rancangan-rancangan serta komitmen yang sudah beliau (Ahmad Idham) buat dan atur sebelum ini.

"Untuk pengetahuan, Ahmad Idham juga masih lagi CEO FINAS sehingga Mac 2020. Jadi saya tidak nampak kenapa boleh timbul isu dan dakwaan kononnya hubungan kami tidak baik," kata Hans dalam wawancara dengan Astro AWANI pada Isnin.

BACA: Ahmad Idham direhatkan sebagai CEO FINAS?


BACA: Kontrak Ahmad Idham sebagai CEO FINAS berakhir Mac 2020

Dalam wawancara yang turut disertai Timbalan Pengerusi FINAS, Affendy Ali itu, Hans berkata, pemain-pemain industri tidak perlu gusar atau bimbang dengan perkembangan terbaharu yang berlaku dalam badan yang bertanggungjawab terhadap perkembangan landskap perfileman tanah air itu.

Ini kerana, ujar Hans, tumpuan dan tanggungjawab FINAS yang sedia ada dalam membantu mencorakkan perkembangan industri perfileman tempatan masih menjadi keutamaan.

Dan pengunduran Ahmad Idham, tegasnya, merupakan isu pentadbiran dan pengurusan dalam organisasi FINAS yang tidak akan memberi implikasi pada perjalanan industri.

"Pesanan saya buat pemain industri, jangan risau. FINAS akan tetap berjalan dan beroperasi. Lembaga Pengarah FINAS menghormati permohonan Ahmad Idham.

"Saya yakin beliau juga membuat satu keputusan yang berat (memendekkan tempoh perkhidmatan), namun, kerana ada hal peribadi yang perlu diselesaikan, maka beliau melakukan keputusan ini," kata Hans lagi.

Sementara itu, Affendy pula berkata, pemilihan pengganti Ahmad Idham akan dilakukan selepas Lembaga Pengarah FINAS meneliti senarai calon untuk mengisi jawatan CEO.

Katanya, sudah menjadi kelaziman, senarai nama calon akan diperhalusi sebelum keputusan muktamad dibuat.

"Soal adakah orang dalam industri (filem) atau pegawai kanan kerajaan lain yang akan dilantik terlalu awal untuk diperkatakan.

"Masih ada banyak masa dan terlalu awal untuk mengumumkan siapa pengganti Ahmad Idham. Biarlah sehingga Mac 2020 selepas Ahmad Idham secara rasmi mengakhiri tugasnya.

"Percayalah bahawa Lembaga Pengarah FINAS akan memastikan nasib warga perfileman dan struktur organisasi FINAS berada dalam kedudukan yang sebaik seperti mana ketika Ahmad Idham menerajuinya sebagai CEO.

"Sesiapa sahaja yang akan dilantik kelak, fungsinya adalah memberi keutamaan pada industri," kata Affendy lagi.

FINAS pada Isnin mengumumkan Ahmad Idham, 45, akan melepaskan kerusi CEO FINAS bermula 10 Mac 2020.

Ahmad Idham memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan daripada dua tahun menjadi satu tahun atas alasan peribadi.

Kebetulan sebelum pengumuman itu dibuat, Astro AWANI pada Khamis lalu melaporkan Ahmad Idham dijangka direhatkan sebagai CEO FINAS

Astro AWANI turut difahamkan, pada ketika itu, kedudukan Ahmad Idham ' tidak lagi selamat' dan berkemungkinan jawatan CEO akan digantikan dengan individu lain.




Tag: Hans Isaac, Ahmad Idham, Pengerusi FINAS, CEO FINAS, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, FINAS



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.