Angin politik di negeri Melaka terus bertiup kencang meskipun sidang media Ketua Menterinya Adly Zahari pada pagi Khamis menjelaskan Pakatan Harapan (PH) masih memerintah negeri itu.

Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata bahawa beliau sedia dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini kerana beliau yang sering dikaitkan dengan gerakan politik yang dibawa bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kecewa dengan pentadbiran PH selama 22 bulan di negeri itu.

"Kalau saya terpaksa buat untuk Allah, Melayu, rakyat dan negara serta lain-lain kaum saya akan buat. Panggillah pengkhianat ke, atau macam mana sekalipun yang penting, apa yang Allah lihat saya macam mana laksanakan tugas di dalam negeri.

"Di Melaka, tidak dipersoalkan perubahan dibawa, tetapi tidak ada apa-apa yang dilakukan untuk orang Melayu dan Islam. Pada saya tidak ada, selepas ini kita pastikan agenda semua rakyat dan seperti mana agenda Melayu dan Islam perlu dilaksanakan kerana agak terabai dalam tempoh dua tahun," kata Muhammad Jailani yang diwawancara secara eksklusif oleh Astro AWANI di sini hari ini.

Malah Muhammad Jailani menjelaskan, beliau kesal dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin daripada parti itu.

"Sekiranya mereka (PKR) nak pecat saya, apa perlu saya buat. Saya bersedia untuk dipecat, kerana saya berikan pendapat yang jujur.

"Dua pemimpin (Zuraida dan Azmin) ini adalah aset untuk PKR kenapa buang? Malah sebelas-sebelas Ahli Parlimen itu adalah aset, semua boleh jalankan tugas dengan baik, mereka ada pengalaman, pendidikan, yang ada wawasan tetapi kenapa PKR buang?" tegasnya lagi.

BACA: 'Adly perlu buktikan punya sokongan Adun Melaka' - Ab Rauf

Dakwa Adun Rembia itu, beliau percaya bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan melibatkan blok pembangkang seperti mana khabar angin beberapa hari lalu lebih baik berbanding formula PH selama 22 bulan yang memerintah kerajaan negeri dan pusat.

"Pada saya, kita kena letak kepercayaan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir), jika formula itu (Kerajaan Perpaduan) kita kena cuba, kita kena cuba. Kerana dalam politik ini, tidak ada yang seratus peratus yang benar, yang sempurna tetapi hanya Allah Taala sahaja.

"Tetapi formula yang paling buruk apabila ada formula tetapi tidak dilaksanakan. Kita dah lihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan empat komposisi parti tetapi negara huru-hara, pentadbiran kucar-kacir jadi pentadbiran itu tidak boleh dipakai," katanya ketika ditemui di Ayer Keroh.


Pendirian Muhammad Jailani itu sekaligus merungkai tanda tanya, siapakah Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dan Exco yang dikatakan tidak sehaluan dengan kerajaan negeri ketika ini.

Sehingga kini, Pakatan Harapan mempunyai 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai jumlah yang sama serta dua lagi kerusi DUN daripada Bersatu.