Perdana Menteri menyangkal laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.65 bilion) dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Datuk Seri Najib Tun Razak juga mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan individu di sebalik pembohongan yang dibuat termasuk oleh Sarawak Report.

Katanya, tuduhan tidak berasas itu adalah susulan keengganan beliau untuk tunduk kepada Dr Mahathir kerana tidak mahu Malaysia diperintah melalui proksi.

"Saya percaya, Tun bekerjasama dengan bangsa asing, termasuk serangan politik blog Sarawak Report yang tidak boleh dipercayai, berada di belakang pembohongan terbaharu ini.

"Biar saya jelaskan: Saya tidak pernah mengambil dana untuk kepentingan peribadi seperti yang didakwa musuh-musuh politik saya – sama ada dari 1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti yang disahkan syarikat-syarikat ini," tulis Perdana Menteri di laman Facebooknya.

Katanya, sangat jelas dakwaan yang dibuat merupakan sebahagian daripada kempen untuk menjatuhkan perdana menteri yang dipilih rakyat.

Najib berkata, sehingga kini, tidak ada bukti menyokong dakwaan yang dibuat, mengatakan sebaliknya dakwaan itu dibuat berdasarkan dokumen yang bocor dan penyiasat yang tidak dinamakan.

Katanya, tidak pernah sekali pun sumber dokumen itu ditunjukkan, atau dokumen itu dikemukakan untuk pengesahan oleh pihak berkuasa yang sah.

"Seperti yang kita tahu, beberapa dokumen yang menjadi asas dakwaan baru-baru ini dilaporkan diubahsuai.

"Orang yang membocorkan dokumen ini sedang disiasat pihak berkuasa di luar negara kerana cuba memeras ugut dan melakukan pemerasan atas bekas majikannya.

"Ini banyak menerangkan tentang kebolehpercayaan dokumen itu, dan mereka yang menggunakannya untuk merosakkan kerajaan kita dan negara kita," kata Najib.

Beliau merujuk kepada tangkapan ke atas bekas eksekutif IT Xavier Justo dari PetroSaudi International (PSI) oleh polis Thai kerana didakwa mengubah suai maklumat yang dikaitkan dengan 1MDB.

Najib memberi amaran beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan kerajaan.

"Malangnya, serangan palsu yang didorong kepentingan peribadi ini berlaku pada ketika Malaysia memiliki kelebihan unik termasuk seperti menjadi Pengerusi Asean tahun ini dan hampir mencapai status negara maju.

"Saya akan terus memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negara untuk rakyat," jelas Najib.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, media tempatan tidak harus menerima sebarang dokumen sebagai tulen melainkan disahkan pihak berkuasa yang berkenaan, susulan pendedahan WSJ dan Sarawak Report.

BACA: Dakwaan WSJ tanpa bukti kukuh tidak boleh diterima - Khairy

BACA: SPRM sudah mulakan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd

BACA: Laporan WSJ: 'Kalau sahih, kenapa tak dedahkan sumber?' - Rahman Dahlan

BACA: 1MDB nafi pernah salur dana ke akaun milik Najib