"Saya rasa tidak sedap hati apabila melihat anak terbaring di atas katil dan tidak bergerak."

Demikian luahan Nor Syafiqah Abdul Kadir, ibu kepada kanak-kanak lima tahun yang meninggal dunia selepas dipercayai didera bapa tirinya.

“Saya pulang ke rumah selepas kerja kemudian saya cuba kejutkan dia, tak bergerak. Semasa itu dia dalam keadaan berselimut dan tidur mengiring ke kanan. Saya tak cuba kejutkan dia kerana sangkakan dia tidur.

“Saya berasa tidak sedap hati tetapi saya terus ke dapur untuk memasak nasi, kemudian suami datang beritahu anak demam panas. Saya ambil asam jawa untuk basahkan kepala dia. Masa kejutkan dia sekali lagi, saya rasa bahunya dah keras kemudian kami terus ke hospital,” jelas Nor Syafiqah.

Mangsa, Muhammad Hairi Amsyar Abdul Rahman, mengalami kesan lebam lama dan baru di bahagian badan.

Muhammad Hairi sebelum itu dibawa suspek ke Unit Kecemasan Hospital Besut, pada jam 3.30 pagi, namun hasil pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, bapa tiri mangsa mendakwa kanak-kanak itu cedera akibat terjatuh ketika menaiki motosikal bersamanya.

Sementara itu, jiran yang duduk berdekatan rumah mangsa, Normarizan Abdul Rahim berkata kejadian itu langsung tidak disangka, kerana sepanjang mangsa berada di dalam rumah, mereka tidak pernah terdengar bunyi jeritan kanak-kanak itu mahupun pertengkaran.

Namun, cerita lanjut dan sejarah sebelum ini tidak diketahui kerana bapa dan ibu mangsa sebelum ini tinggal di Kuala Lumpur dan hanya pulang ke Felda Tenang beberapa bulan lalu.

Menurut Normarizan, ibu mangsa, Nor Syafiqah yang turut bekerja dengannya membantu membuat manisan tidak pernah menceritakan sebarang masalah berhubung mangsa.

Manakala bapa saudara mangsa yang enggan dikenali menjelaskan, rumah yang didiami Nor Syafiqah dan suami serta mangsa turut didiami ibu dan bapa Nor Syafiqah.

BACA: Muhammad Hairi Amsyar koyak usus kecil akibat hentakan kuat

Menurut mereka, sepanjang mereka tinggal di sana, tidak pernah berlaku penderaan atau pertengkaran namun tidak menolak kemungkinan ia berlaku di luar rumah.

Ini kerana mangsa sering mengikut bapa tirinya keluar menaiki motosikal.

Kanak-kanak malang itu meninggal dunia awal pagi Rabu di rumah datuknya di Felda Tenang Hulu Terengganu, tiga jam sebelum dibawa ke hospital.

Selepas siasatan awal dilakukan dan berdasarkan kecederaan ibu mangsa, polis menahan bapa tiri mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai buruh itu.

"Siasatan juga mendapati suspek sebelum ini mempunyai rekod jenayah iaitu kes dadah dan pernah ditangkap mengikut Seksyen 3 (1) Akta Kanak-Kanak.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.