Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 sekitar 4.45 petang Isnin.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma, pada usia 50 tahun.

Isteri Allahyarham, Jamilah Sahak berkata, Shuhaimi telah dimasukkan ke hospital sejak sebulan lalu.

“Kira-kira minggu lepas sebelum beliau kritikal, beliau ada pesan kepada saya untuk merahsiakan perkara itu.

“Dia mahu rahsiakan semua ni sebab dia tak nak orang tengok dia sakit,” katanya ketika ditemui media pada Isnin.

Lebih 500 yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai hadir di majlis pengebumian.

Turut kelihatan di sekitar majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta ADUN Gombak Setia, Hilman Idham.

BACA: ADUN Sungai Kandis Shuhaimi Shafie meninggal dunia