Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu menyegerakan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat 85 untuk membenarkan prosiding PAC dijalankan secara terbuka selain laporan Jawatankuasa ini dibahaskan di dalam Dewan Rakyat apabila ia dibentangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang negara (PAC) Parlimen, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya pada masa sama komited untuk menyiapkan laporan yang sudah selesai proses prosiding.

Jelasnya, laporan itu terutama sekali berhubung Tuntutan Tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion serta Projek Sistem Kutipan Cukai Jalan dan Rekod Kemasukan Kenderaan.

"PAC Parlimen berharap kedua-dua laporan ini dapat dimuktamadkan tidak lama lagi dan dibentangkan di Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat Julai ini.

"Jawatankuasa ini juga akan meneruskan prosiding Transaksi Penjualan Tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan memanggil Tommy Thomas, Peguam Negara dan Datuk Seri Shukri Abdull, Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 23 April ini.

"PAC sudah mendengar penjelasan daripada Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berhubung isu ini pada 4 April lalu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Jumaat.

BACA: Noraini Ahmad, wanita pertama terajui PAC

BACA:
Pembangkang tidak lagi boikot PAC

Pada Khamis, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO dipilih mempengerusikan jawatankuasa tersebut pada sesi sidang Dewan Rakyat.

Mengulas pemilihan itu, Noraini berterima kasih kepada Ahli Parlimen Blok Pembangkang yang mencadangkan namanya sebagai Pengerusi PAC Parlimen dan diterima sebulat suara tanpa bahas oleh Dewan Rakyat selepas usul dibentangkan.

Katanya, ia adalah tanggungjawab serta amanah yang amat berat dan besar memandangkan fungsi Jawatankuasa Tetap itu begitu besar bagi memastikan perbelanjaan Kerajaan dilakukan secara berhemah mengikut prosedur serta undang-undang yang ditetapkan.

"Walaupun, saya sudah menganggotai PAC Parlimen selepas dipilih pada 4 Disember 2018 namun dipilih untuk menjawat jawatan Pengerusi PAC Parlimen adalah satu penghormatan kepada saya sebagai Ahli Parlimen.

"Sesuai dengan reformasi institusi Parlimen yang sering dilaungkan Kerajaan, sudah pasti rakyat akan menilai dengan lebih teliti keupayaan saya sebagai Pengerusi PAC Parlimen pertama daripada kaum wanita dan daripada parti pembangkang.

"Justeru, saya mengharapkan kerjasama penuh daripada 13 ahli-ahli PAC bagi memastikan Jawatankuasa ini akan terus dapat menjalankan tanggungjawabnya seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat 77 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," jelasnya.

Dalam pada itu Noraini mengakui Pengerusi sebelumnya, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memberikan perkhidmatan terbaik dalam tempoh empat bulan sepanjang berkhidmat sebagai Pengerusi PAC Parlimen.

"Kita dapat lihat dengan pengendalian lebih 35 mesyuarat prosiding serta taklimat yang dipengerusikannya selain sentiasa memmastikan PAC korum yang mencukupi bagi membolehkan mesyuarat dijalankan, adalah bukti bahawa beliau mendapat kerjasama erat daripada semua ahli-ahli PAC dalam mengendalikan mesyuarat.

"Justeru, saya memohon kepada semua ahli-ahli PAC Parlimen untuk turut sama memberikan kerjasama yang sama kepada saya selaku Pengerusi PAC Parlimen yang baru," ujarnya.

PAC Parlimen adalah satu daripada lima Jawatankuasa Tetap Dewan yang berkuasa untuk menyiasat segala kewangan kerajaan sama ada membabitkan kementerian, jabatan serta kerajaan selain syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat milik kerajaan (GOC).