Tokoh sejarawan dan ahli akademik Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, meninggal dunia akibat masalah paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di ibu negara sekitar pukul 10.45 pagi tadi.

Anaknya, Eddin Khoo ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan berita kematian ayahnya itu.

"Benar, beliau meninggal dunia sekitar 30 minit yang lalu selepas mengalami masalah paru-paru. Keluarga saya akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung pengebumian dan acara penghormatan terakhir buat ayah saya dalam masa terdekat ini," kata Eddin ringkas.

Khay Kim merupakan seorang penerima Anugerah Merdeka 2018 berprestij dalam kategori pencapaian skolastik cemerlang kerana sumbangan gemilangnya terhadap penyelidikan sarjana, penyusunan interpretasi semula sejarah Malaysia dan dedikasi sepanjang hayat dalam pendidikan sejarah.

BACA: 'Pentadbiran British suatu ketika dahulu teratur, rasuah jarang berlaku' - Khoo Kay Kim


Khay Kim merupakan salah seorang individu yang membantu menggubal Rukun Negara berkata anugerah itu mengiktiraf individu yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Tokoh sejarawan itu merupakan anak jati Perak yang dilahirkan di Kampar pada 28 Mac 1937.

Mendiang merupakan seorang ahli sejarahwan terkemuka di Malaysia dan mendapat kehormatan Emeritus dari Universiti Malaya.

Semasa zaman persekolahannya, beliau pernah menghadiri sekolah Inggeris di sebelah pagi dan sekolah Cina di sebelah petang.

Pada tahun 1959, beliau memperoleh ijazah B.A. (hons) dalam bidang sejarah daripada Universiti Malaya Singapura.


Pada tahun 1967, beliau mendapat ijazah sarjana M.A Sejarah daripada Universiti Malaya, Singapura dan Ph.D Sejarah daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1974.

Beliau mendapat Sarjana Kedoktoran (PhD) berdasarkan tesis beliau yang bertajuk “The beginnings of political extremism in Malaya 1915-1935 yang diseliakan oleh Prof. Kennedy G. Tregonning.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai tutor dari tahun 1964 sehingga 1966. Kemudian, dari tahun 1966 hingga tahun 1967, beliau menjawat jawatan Pembantu Pensyarah (sementara) dan akhirnya menjadi Pembantu Pensyarah dari tahun 1967 hingga Julai tahun 1968.

Pada tahun 1974, beliau dilantik sebagai seorang Profesor sementara Mei tahun 1973 sehingga tahun 1975, mendiang dilantik Pemangku Ketua Jabatan Sejarah dan seterusnya sebagai Profesor Jabatan Sejarah pada Mei tahun 1975.

Pada 3 September 2018, Kay Kim bersama-sama Tokoh Animasi, Hassan Muthalib merupakan penerima Anugerah Merdeka 2018 yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.