Semua majikan di negara ini digalakkan menyediakan ruang rehat dan masa yang secukupnya buat pekerja bagi mengelakkan produktiviti mereka terganggu.

Cadangan dibuat Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye yang merujuk kepada hasil dapatan Kajian Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia oleh AIA Vitality 2019 dengan kerjasama Agensi Penyelidikan Rand Europe dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkaitan sektor pekerjaan di Malaysia sepanjang tahun 2019.

Kajian itu antara lain menunjukkan 28 peratus pekerja kehilangan produktiviti sehingga menyebabkan purata kerugian RM1.46 juta yang terpaksa ditanggung sesebuah syarikat atau institusi sepanjang tahun 2019.

"Kita (kerajaan) mengalakkan supaya kalau mereka (majikan) mesti menyediakan ruang mencukupi sama ada ruang, tempat dan masa untuk mereka (pekerja) rehat.

"Apabila mereka ada tekanan yang terlalu besar, sepatutnya ada peluang menerima kaunseling disamping sama ada di tempat kerja seperti di Kementerian Pendidikan kesemua sekolah, Institusi Pengajian Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Swasta (IPTS) memang sediakan kemudahan kaunseling untuk pelajar ini kita galakkan," katanya ketika ditemui dalam majlis Malaysia's Healthiest Workplace Summit 2019 anjuran AIA Berhad.

BACA: 53 peratus pekerja negara ini tidak cukup tidur - Kajian AIA Vitality 2019

Kajian tersebut juga menunjukkan, 51 peratus pekerja di negara ini mengalami sekurang-kurangnya satu dimensi tekanan kerja.

Ia membabitkan 29 peratus akibat dikawal oleh majikan, 14 peratus berkaitan hubungan di antara majikan dan pekerja.

11 peratus permintaan menyelesaikan tugasan, 10 peratus perubahan di tempat kerja atau pekerjaan manakala lapan peratus sokongan pengurusan yang kurang dan lima peratus membabitkan kurang sokongan rakan sekerja serta lima peratus akibat tugasan.