Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu semua pemimpin dan agensi perkhidmatan awam serta swasta di negeri ini untuk bersama-sama menggembleng usaha dan tenaga bagi terus memacu pembangunan negeri demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Sabah.

Beliau berkata ini termasuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian seterusnya memantapkan kecekapan jentera pentadbiran di semua agensi awam dan swasta bagi memastikan perkhidmatan berkualiti dapat dinikmati rakyat di semua peringkat.

"Segala program dan projek dilaksanakan juga perlu dipantau dan dipastikan keberkesanan serta kejayaannya selain memastikan setiap projek pembangunan benar-benar dapat dimanfaatkan rakyat di peringkat akar umbi," katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-65 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sini, malam tadi.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri yang baharu akan memastikan semangat kerjasama, permuafakatan dan kerja berpasukan akan terus diperkasakan dan dijadikan amalan oleh semua pihak termasuk pemimpin, anggota perkhidmatan awam, sektor swasta dan rakyat secara keseluruhannya.

"Saya yakin, dengan sokongan jitu dan kerjasama padu, kita akan dapat memenuhi mandat diberikan rakyat kepada kerajaan baharu pada pilihan raya lalu.

"Sebagai pemimpin, kami berikrar untuk memikul tanggungjawab ini dengan efektif dan efisien sesuai dengan tugas dan amanah digalas demi kesejahteraan rakyat di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA