Tutup

Seremban, dulu kawasan bijih timah kini bandar raya

Seremban, dulu kawasan bijih timah kini bandar raya
Pemandangan di sekitar Bandar Seremban ketika tinjauan Bernama baru-baru ini. --fotoBERNAMA
SEREMBAN: Seremban, ibu negeri Negeri Sembilan yang kini pesat membangun, akan terus berkembang maju berikutan statusnya dinaik taraf sebagai bandar raya pada 1 Jan lepas.

Menyingkap sejarah Seremban, yang mempunyai kepadatan penduduk 619,100 orang mengikut statistik taburan penduduk Negeri Sembilan pada 2018, pada awalnya dikenali sebagai Sungai Ujong dan merupakan pusat melombong bijih timah.
Menurut Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan Datuk Sudin Kamari, petempatan awal masyarakat di Negeri Sembilan adalah di Sungai Ujong, yang mula dibuka pada 1773, iaitu 247 tahun dahulu.

"Kewujudan kampung-kampung kecil telah memperlihatkan petempatan yang didirikan secara berselerak oleh penduduk yang menjalankan aktiviti perniagaan dan perlombongan di sekitar Rasah dan Sungai Linggi. Sungai Ujong dikatakan mendapat nama daripada peristiwa penebangan pokok Merbau tua di Rembau. Nama Sungai Ujong ditukar kepada Seremban semasa pemerintahan kolonial British.
"Nama ini diambil bersempena satu permainan tradisional iaitu 'Batu Sarimban' atau "Batu Seremban', sejenis permainan yang dimainkan oleh kaum Cina berhampiran stesen kereta api Seremban pada waktu itu. Permainan ini menggunakan lima atau tujuh biji batu kecil dan dimainkan secara individu atau berkumpulan. Di sesetengah negeri, permainan ini dikenali sebagai 'Selambut'," katanya ketika ditemu bual Bernama di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Sudin berkata penduduk asal Negeri Sembilan adalah masyarakat Orang Asli sebelum penghijrahan masyarakat Minangkabau, Indonesia ke negeri ini yang membentuk masyarakat bersuku yang mengamalkan Adat Pepatih.

"Kebanyakan mereka berasal daripada kampung di daerah sekitar Pagar Ruyong, antaranya Sungai Tarap dan Sumanik. Mereka yang mendarat di Kuala Sungai Linggi kemudian membuka penempatan di daerah Rembau dan Sungai Ujong serta Seri Menanti.

"Manakala yang naik melalui Melaka pula, mendiami kawasan di Naning, Johol dan sebahagian daerah Kuala Pilah," katanya.

Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan Datuk Sudin Kamari ketika ditemu bual oleh Bernama, baru-baru ini. --fotoBERNAMA

BACA: Penduduk yakin Seremban akan rancak membangun dengan status bandar raya

BACA: Pengisytiharan Seremban sebagai bandaraya ditangguhkan

BACA: Seremban jadi bandar raya tahun depan - MB

Sudin berkata pada tahun 1884, pentadbiran kolonial mula membentuk struktur fizikal bandar Seremban dengan mewujudkan dasar pembangunan bandar menggunakan rangkaian jalan raya dan rel kereta api sebagai paksi pembangunan.

"Pada era penjajahan Inggeris sekitar 1880 sehingga 1900-an, pentadbiran awal British telah menggunakan konsep jalan hubungan sebagai paksi bagi pembangunan di Sungai Ujong. Perkembangan ini dapat dilihat apabila pihak British mulai membina rangkaian jalan raya utama dan landasan kereta api.

"Jalan Channer (sekarang Jalan Datuk Siamang Gagap) telah dibina dan kawasan di situ dijadikan pusat pentadbiran dengan menempatkan bangunan residen Inggeris pertama iaitu Kapten Murray," katanya.

Sudin berkata keadaan itu telah menyebabkan peningkatan aktiviti perniagaan dan perdagangan dalam kalangan penduduk dan kemudiannya membawa kepada kewujudan satu pusat bandar sebagai kawasan perdagangan.

Pemandangan di sekitar bekas bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan. --fotoBERNAMA

"Bagi menampung keperluan penduduk pula, pentadbiran British telah mendirikan rumah-rumah kedai, bangunan perdagangan dan pasar serta bangunan awam seperti pejabat pos, balai polis dan sekolah," katanya sambil menambah bahawa selepas Negeri Sembilan menganggotai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1896, Seremban telah diangkat menjadi pusat pentadbiran, perdagangan dan pertanian bagi negeri.

Pada 1 Jan lepas, secara rasminya Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) telah bergabung menjadi satu entiti iaitu Majlis Bandaraya Seremban (MBS) manakala Yang Dipertua MPS/MPN Datuk Zazali Salehudin dilantik sebagai Datuk Bandar pertama.

MBS dianggotai 24 ahli majlis dengan 10 daripadanya telah mengangkat sumpah jawatan pada 2 Jan lepas.

Usaha penggabungan dan naik taraf status bandar raya telah bermula sejak tahun 2008 dan kemudiannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhun Tuanku Munawir.

Majlis pengisytiharan Majlis Bandaraya Seremban dijadual disempurnakan oleh Tuanku Muhriz malam ini.

-- BERNAMA