Berita kematian Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3 tahun, yang mayatnya ditemukan di sebuah kawasan di Langkawi selepas dipercayai meninggal dunia sejak dua minggu sebelumnya, ternyata menyentuh hati ramai pihak.

Susulan insiden tersebut, jiran kepada kanak-kanak malang itu memaklumkan bahawa dia sering terdengar tangisan kanak-kanak pada waktu malam, namun tidak mengesyaki apa-apa.

Ini kerana, menurut Mohd Faizal Zakaria, 49 tahun, kebanyakan penghuni kuarters pekerja Hospital Langkawi itu terdiri daripada keluarga yang mempunyai ramai anak.

Jelasnya, dia mempunyai keinginan untuk naik ke tingkat atas bagi mengetahui apa yang berlaku, namun Faizal membatalkan niat tersebut dek kerana suspek pasangan suami isteri yang menjaga mangsa itu memang diketahui mempunyai anak yang ramai.

"Ada pernah terdengar tengah-tengah malam tangisan budak, namun bukanlah setiap hari, kerana kadang-kadang apabila balik dari menyertai aktiviti larian dan mengayuh basikal, kami balik lewat,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.

BACA: Pembunuhan Nur Aisyah: 'Suspek seorang panas baran' - Ibu mangsa

Dalam kejadian itu, Nur Aisyah ditemukan mati di gaung di Gunung Raya kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu dalam keadaan menyayat hati apabila hanya tinggal tengkorak kepala dan cebisan rambut miliknya.

Penemuan tersebut terbongkar selepas soal siasat dilakukan terhadap kedua-dua suspek yang menjaga kanak kanak terbabit sebaik sahaja ditahan di Ampang pada Selasa selepas dipercayai melarikan diri dari Pulau Langkawi.

Faizal menambah, beliau sering bertegur sapa dengan suspek lelaki terbabit, namun tidak pernah mengesyaki sesuatu yang pelik sehinggalah kehadiran polis ke rumah lelaki terbabit awal pagi Selasa.

"Kali terakhir saya jumpa suspek adalah pada minggu lepas dan tiada sebarang masalah apabila dia juga menegur saya semasa sedang berehat di belakang.

"Saya tidak nampak apa-apa yang mencurigakan pun sebab ketika saya berjumpa dia baru balik mengambil isterinya,” katanya.