Setahun berlalu selepas beralihnya angin kepimpinan negara pada tarikh bersejarah 9 Mei 2018, nampaknya harapan tinggi seluruh rakyat Malaysia belum mampu dipenuhi kerajaan baharu.

Benar, empayar Rom tidak dibina dalam masa satu hari, dan dalam kes ini Malaysia yang baharu, tidak dapat dibentuk dalam masa satu tahun.

Bagaimanapun, kesepaduan semangat dan gerak kerja yang dipamer Pakatan Harapan (PH) sebelum kejayaan menakluk Putrajaya tidak dirasakan hari ini.

“Ketika mereka berkempen, mereka sangat bersatu. Mesej mereka sangat jelas dan cohesive. Kenapa sekarang seperti mereka tidak membincangkan bersama?” soal Karim Raslan.

Hos Agenda AWANI, Kamarul Bahrin Harun berkata bahawa mungkin semangat itu terhenti apabila berdepan kerenah birokrasi, prosedur operasi standard dan aturcara yang menjadi amalan kerja biasa sejak berpuluh tahun.

Ada benarnya, tetapi itu bukan masalahnya.

Penganalisis politik, Prof Dr Hamidin Hamid menegaskan bahawa selepas setahun, masih belum jelas apakah hala tuju atau jalan cerita kerajaan pimpinan PH untuk membentuk apa yang dicanang sebagai Malaysia Baharu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu pada Khamis menyatakan realiti hari ini berkenaan isu agama dan bangsa.

BACA: Cukuplah, hentikan main isu kaum dan agama - Dr Mahathir

Pasca 9 Mei 2018, kerisauan orang Melayu Islam tentang kedudukan mereka semakin menular, lantas dijadikan senjata politik pembangkang untuk memperlihatkan PH tidak mempedulikan isu Islam dan Melayu.

“Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik,” tegas Dr Mahathir.

BACA: Setahun Malaysia Baharu: Masalah hubungan kaum, agama semakin meruncing - Anwar

Itu baru tentang soal agama dan kaum yang bersangkut dengan politik, belum lagi menyentuh hal-hal penting lain seperti pendidikan, kos sara hidup, ekonomi akar umbi, pembangunan luar bandar dan macam-macam lagi.

Namun apakah usahanya untuk menyelesaikan seribu satu masalah yang masih merencatkan usaha Malaysia memacu laju ke hadapan? Ia seakan terhenti setakat peringatan tanpa ada sokongan atau follow-up daripada barisan menterinya.

“Apabila berkata tentang grand narrative, ia juga perlu disokong dengan struktur. Ini kekurangan kerajaan hari ini, koordinasi antara menteri, antara kementerian, amat lompong.

“Dalam konteks bagaimana pemahaman mereka tentang struktur itu amat penting. Apa yang saya lihat naratif yang diberikan kerajaan adalah describing the scene,” jelas Hamidin.

BACA: PH perlukan masa untuk perbaiki kos sara hidup rakyat - Penganalisis

Hamidin, Karim bersama Felo Penyelidik Utama KITA-UKM, Prof Datuk Dr Denison Jayasooria serta penganalisis politik dan sosio-ekonomi, Dr Madeline Berma menyertai Kamarul Bahrin dan Nazri Kahar dalam program bual bicara Agenda AWANI Khas sempena Setahun Malaysia Baharu pada Khamis.

Tonton video penuh di sini: