Tutup

Setahun Malaysia Baharu: Masalah hubungan kaum, agama semakin meruncing - Anwar

Setahun Malaysia Baharu: Masalah hubungan kaum, agama semakin meruncing - Anwar
ANWAR: Saya ingin nyatakan penghargaan buat Dr Mahathir yang berusaha menggembleng tenaga dalam usaha merubah landskap politik negara. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Masalah hubungan antara kaum dan agama di negara ini dilihat semakin meruncing tatkala Pakatan Harapan sedang membuat perubahan dan reformasi untuk negara.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ancaman api perkauman dan kejumudan tidak harus dipandang mudah selain jika dibiar mampu meroboh usaha dalam meletakkan negara ini kembali ke landasannya.
"Tentunya mencapai kemenangan yang kita nikmati hari ini tidak mudah, dan ia bertitik tolak dari kesedaran dan pengorbanan mereka yang benar-benar mendambakan perubahan dan reformasi yang bermakna sejak 20 tahun lampau.

"Banyak air mata dan keringat yang dilaburkan untuk memungkinkan ledakan kuasa rakyat tanggal 9 Mei 2018.
"Justeru, jika ditelaah semula pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh pentadbiran hari ini, ternyata ia suatu pencapaian yang belum pernah terjadi dalam sejarah negara dan tidak dinafikan juga masih banyak lagi yang perlu dilunaskan dan diselenggara supaya negara ini akan kembali dihormati dunia.

"Namun, usaha dan upaya Pakatan Harapan dalam menggagas reformasi juga harus dimaknai dengan dasar-dasar ekonomi yang mengangkat dan membebaskan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan sempena setahun Malaysia Baharu pada Khamis.

BACA: 9 Mei selepas setahun

BACA: 
Ramai masih tumpukan kaum, bukan negara - PM Mahathir

Jelasnya, hari ini adalah ulang tahun pertama negara berjaya menundukkan kebobrokan, kebejatan dan keangkuhan.

Tambah Anwar, berkat dukungan dan sokongan rakyat berbilang kaum dan agama akhirnya memungkinkan peralihan kuasa yang aman dan demokratik.

"Tekad dan iltizam politik juga harus diselaraskan agar ia benar-benar memberi dampak yang menyeluruh agar kekayaan itu tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang kaya dan berpangkat sahaja, malah ia mesti mengesankan mereka yang menderita, terpinggir dan melarat.

"Saya secara peribadi ingin menyatakan penghargaan buat Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menggembeleng seluruh tenaga dan pihak dari kalangan pembangkang ketika itu dalam usaha merubah landskap politik negara ke tahap yang kita kecapi hari ini.

"Justeru marilah bersama-sama kita merapatkan saf dan kembali membetulkan tekad dalam memaknai perubahan yang diimpikan," ujarnya.