Seorang setiausaha politik menteri direman empat hari bermula hari ini berhubung dakwaan menerima suapan berbentuk jam tangan berjenama Omega dianggarkan bernilai RM28,000.

Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 47 itu sehingga 5 April ini.

Semalam, suspek tersebut ditahan pada kira-kira 5 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.

BACA: Menteri tidak campur tangan kes setiausaha politik ditahan SPRM

Menurut sumber, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan kementerian terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

--BERNAMA