Permintaan tinggi daging penyu yang dipercayai dapat menguatkan 'tenaga batin' menjadi punca kepada peningkatan pembunuhan haiwan tersebut di negeri ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Dr Sen Nathan berkata kepercayaan 'karut' ini merupakan penyebab utama berlakunya pengeksploitasi haram ke atas penyu-penyu sekaligus menimbulkan kegusaran terhadap kepupusan haiwan berkenaan.

Katanya, ancaman pihak luar yang mahukan daging beserta telur penyu ini dilihat semakin kronik jika orang dalam turut sama membantu menyalurkan bekalan-bekalan daging dan telur penyu untuk dieksport.

"Secara keseluruhan, permintaan daging penyu dalam kalangan penduduk Sabah adalah berkurang namun pemburuan terhadap daging haiwan tersebut meningkat disebabkan oleh negara-negara jiran.

"Ini boleh dilihat dengan beberapa penangkapan kapal-kapal nelayan asing ini yang ditangkap oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada mana-mana kajian saintifik yang membuktikan bahawa daging penyu ini mempunyai khasiat menambah tenaga batin seseorang itu. Langsung tidak ada," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Khamis.

BACA: Jangan buru daging penyu! - Assaffal

Tambah Nathan, JHL Sabah bersama agensi-agensi berkaitan komited membanteras gejala penjualan dan pembelian daging penyu untuk tujuan pengeksportan.

Menurutnya, hukuman berat akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang bersengkokol membantu memburu daging dan telur penyu untuk pasaran dalam mahupun luar negara.

"Jika di Sandakan, satu kempen menghalang atau melarang jual beli telur penyu telah diadakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan juga dan juga beberapa agensi-agensi lain malah terdapat juga operasi penangkapan diteruskan," katanya.

Tambah Nathan lagi, daerah Semporna turut disyaki sebagai kawasan yang membekalkan bekalan daging dan telur penyu akibat peningkatan kemasukkan pelancong daripada negara China.

"Pihak JHL telah mendapati beberapa restoran-restoran di daerah Semporna menjual daging dan telur penyu.

"Ini disebabkan oleh kemasukan pelancong-pelancong dari China yang gemar memakan makanan eksotik. Kes ini masih dalam siasatan pihak kami," katanya.

Dalam pada itu, Nathan turut menyatakan bahawa terdapat beberapa restoran-restoran di daerah Semporna disyaki terlibat dengan aktiviti pembekalan daging dan telur penyu.

Astro AWANI akan membawa laporan daripada daerah itu untuk mengikut rapat perkembangan penjualan daging dan telur penyu di daerah tersebut.