Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah meminta agar pengusaha restoran atau operator pelancong di negeri itu tidak melayan sebarang permintaan pelancong yang mahukan daging penyu atau apa sahaja bentuk makanan eksotik yang membunuh spesis haiwan terancam.
Pembantu Menterinya, Assaffal P. Allian berkata tindakan undang-undang akan diambil sekiranya siasatan yang dilakukan membuktikan mereka terlibat melakukannya.
Assaffal menegaskan penyu adalah spesis yang dilindungi dan kementerian berpegang teguh pada undang-undang yang digunapakai kerana penyu penting dalam ekosistem.
"Kalau ada usaha atau permintaan daripada mana-mana pihak sekali pun (untuk dapatkan) samada daging, telur penyu, ianya salah mengikut undang-undang di negeri ini," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tungku berkata demikian ketika ditemui media untuk mengulas dakwaan kemungkinan wujudnya permintaan di kalangan pelancong untuk memakan daging penyu bagi tujuan perubatan atau kepercayaan tertentu.
Isu itu mula menjadi bualan masyarakat sekitar mendakwa haiwan penyu tidak akan dijual sekiranya tiada permintaan dari pelancong atau negara luar.
Ianya mendorong pada peniaga dan pemburu penyu untuk membekalkannya di pasaran berikutan wujudnya permintaan termasuk pelancong-pelancong asing.