Tutup

Siasat segera punca pencemaran air Kampung Kuala Koh - ADUN Paloh

Siasat segera punca pencemaran air Kampung Kuala Koh - ADUN Paloh
Sumber air di situ dipercayai tercemar dengan bahan kimia dari kawasan lombong bijih besi berhampiran. -Gambar fail
GUA MUSANG: Pihak terbabit digesa menyiasat segera dakwaan pencemaran air sungai dan tadahan bukit yang menjadi sumber keperluan Orang Asli di Kampung Kuala Koh di sini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Ariffin berkata sumber air masyarakat di situ dipercayai tercemar dengan bahan kimia dari kawasan lombong bijih besi berhampiran.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius berikutan jumlah mangsa yang dijangkiti dan menemui maut semakin meningkat, lapor Bernama.

Berdasar laporan yang diterima setakat ini, 14 mangsa meninggal dunia sejak awal Mei lepas.
Terbaharu, seorang lagi mangsa meninggal dunia pagi ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, namun indentitinya belum diperoleh.

Beliau berkata, akibat daripada kejadian itu, 119 penduduk terpaksa menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan enam yang kritikal dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK).
"Kita harap ada penyelesaian mengenai perkara itu bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa, " katanya kepada Bernama selepas melawat Orang Asli jangkitan kuman di HGM, hari ini.

Amran berkata, 33 Orang Asli termasuk tujuh lelaki dan 10 perempuan dewasa dan 16 kanak-kanak masih menerima rawatan di HGM dan keadaan mereka stabil.

Beliau berkata, ramai di antara mereka menerima rawatan sebagai pesakit luar termasuk di Klinik Aring 1, Klinik Kesihatan Chiku 3 dan HGM.

"Hanya yang lebih penting saya mengingatkan kaum itu supaya tidak mudah menuding jari kepada mana-mana pihak dan kita selesai masalah dihadapi mereka secara bersama," katanya.

Katanya, pihak yang berkaitan hendaklah mengambil langkah segera menyiasat perkara itu untuk mencari bukti punca merebaknya penyakit jangkitan kuman dalam kalangan kaum berkenaan.