NATIONAL
Siasatan kes Jalur Gemilang bucu 5 selesai - Polis

Polis memaklumkan siasatan berhubung penggunaan bendera Malaysia bucu lima yang tular baru-baru ini selesai. -Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa memaklumkan siasatan berhubung penggunaan bendera Malaysia bucu lima yang tular baru-baru ini selesai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pagi ini untuk tindakan lanjut.
"Setakat ini, lima saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk penganjur, vendor IT dan Setiausaha Eksekutif Persatuan.
"Polis turut merampas beberapa perkakasan yang digunakan sewaktu insiden berlaku," katanya dalam kenyataan berkenaan.
Bendera dengan bintang lima bucu dan 11 jalur merah dan putih itu dipaparkan pada skrin tv stadium ketika lagu kebangsaan dimainkan semasa majlis perasmian Kejohanan Bola keranjang Kali Ke-28 pada 24 November lalu.
Jalur Gemilang mempunyai 14 bucu bintang serta 14 jalur merah dan putih yang mewakili 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.
Tambah Huzir, pihaknya menerima 31 laporan berhubung kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan dan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana berkongsi kandungan jelik dan mengancam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami