Sidang media oleh pihak pengurusan Scomi Group Bhd yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pagi tadi bagi menjelaskan isu berkaitan tuntutan pekerja Scomi Engineering Bhd yang mendakwa tidak dibayar gaji selama enam bulan dibatalkan pada saat akhir.

Astro Awani yang dihubungi pagi tadi dimaklumkan oleh pihak Scomi bahawa sidang media itu yang sepatutnya diadakan pada jam 10 pagi dibatalkan berikutan pihak pengurusan syarikat itu telah dihubungi dan telah dipanggil oleh pihak kementerian Sumber Manusia susulan berita mengenainya disiarkan semalam.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan mengenai butiran lanjut tentang perkara yang akan dibincangkan oleh pihak Kementerian Sumber Manusia dengan pihak Scomi.

BACA: Enam bulan tidak dibayar gaji

BACA: Mahfuz terkejut kes tunggakan gaji pekerja Scomi Engineering

Semalam, satu sidang media diadakan oleh sekumpulan wakil pekerja dari syarikat berkenaan di ibu negara yang mendakwa mereka telah tidak menerima pembayaran gaji selama enam bulan.


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi pada Khamis menyifatkan perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

Jelas Mahfuz, Kementerian Sumber Manusia tidak akan berkompromi dalam hal melibatkan penganiayaan terhadap pekerja, sekalipun ia membabitkan syarikat gergasi dan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pihak Astro AWANI tidak dimaklumkan bila sidang media berkenaan akan diadakan.