Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencadangkan sistem pembelajaran berkaitan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Akademi Latihan Ketenteraan dirombak semula jika diperlukan.

Jelasnya, langkah itu bagi menangani gejala buli yang berlaku di kalangan pelajar.

"Saya serius (hendak memastikan insiden buli di UPNM tidak lagi berlaku). Saya mahu lihat UPNM dan akademi latihan tentera kita di sana bertanggungjawab. Kita kena tengok, kalau perlu rombak, rombaklah sistem kita di UPNM.

"Mereka tidak boleh lepas tangan dalam hal ini. Jadi, arwah tidak meninggal sia-sia," katanya merujuk kes Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, Pegawai Kadet Laut tahun tiga di UPNM, yang meninggal dunia 1 Jun lalu.

Zulfarhan dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki, dipercayai kerana ditekap dengan seterika wap, akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan.

Hishammuddin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Setiausaha UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Bagaimana, katanya yang juga Naib Presiden UMNO, perkara itu boleh dibincangkan dan diletakkan di bawah dua institusi pendidikan berkenaan.

"Tunggulah. Mereka akan cadangkan kepada saya sebagai Menteri Pertahanan, dan saya akan maklum kepada orang ramai," jelasnya lagi.

Mengenai 13 suspek buli pelajar UPNM yang dibenarkan menyambung pengajian, Hishammuddin berkata, perkara itu telah dijelaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Jun atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan, rakan seuniversiti mereka.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, kesemuanya berumur 21 tahun.

Lima daripada tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobirin didakwa bersama-sama membunuh Zulfarhan di Bilik 04-10, Blok penginapan asrama Jebat UPNM, Kem Perdana Sungai Besi, Cheras, antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Abdoul Hakeem pula dituduh bersubahat dengan lima tertuduh membunuh mangsa di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.