Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) mencadangkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk segera mengawal selia penyedia aplikasi 'ride share app'.

Presidennya Ajit Kohl berkata ini selaras dengan langkah kerajaan untuk menggalakkan rakyat turut mengambil bahagian sebagai pemandu 'ride-sharing' seperti pemandu Uber.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

"Kami juga berharap kerajaan akan menggalakkan pemandu teksi menggunakan kereta import yang cukainya sifar untuk digunakan sebagai teksi. Ini akan membolehkan pemandu teksi menerokai pasaran baharu dan tidak bersaing secara langsung dengan penyedia 'ride share', yang memberi perkhidmatan kepada pengguna yang mahukan bayaran lebih rendah," katanya dalam kenyataan, Jumaat.

Sambil menyambut baik usaha kerajaan untuk membaik pulih landasan Keretapi Pantai Timur, 4PAM berharap kerja baik pulih dapat dipercepatkan.

Najib hari ini mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk baik pulih landasan keretapi Pantai Timur sepanjang laluan Gua Musang-Tumpat yang rosak akibat banjir.

Beliau juga berkata pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur sepanjang 600km menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur dianggarkan menelan kos RM55 bilion.

"Laluan rel 600km antara Pelabuhan Klang-Tumpat, akan menyaksikan pertumbuhan positif bagi pengguna dan memacu ekonomi bagi stesen-stesen yang dihubungkan dan bandar di antaranya," kata Ajit.

Sementara itu, persatuan dan pengusaha teksi mencadangkan maklumat lebih jelas mengenai permohonan menjadi ahli Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diberikan sebelum ia dilaksanakan untuk pemandunya.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi, Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERPEKLI) Datuk Aslah Abdullah berkata syarat dan peraturan yang digariskan Perkeso buat masa ini tidak bertepatan dengan kelayakan dimiliki kebanyakan pemandu teksi.

Najib berkata kerajaan akan memperkenalkan geran pelancaran RM60 juta untuk Skim Perkeso kepada pemandu teksi individu berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Aslah berkata ia satu usaha yang baik namun kami perlu tahu apa syarat dan kelayakannya kerana majoriti pemandu teksi berusia 50 tahun ke atas malah ada yang 60 tahun lebih yang masih bekerja dan ramai pula yang berpenyakit.

"Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Kepong Gor Bachan Singh pula mencadangkan agar syarat caruman disesuaikan dengan sifat kerja industri teksi yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Diharap Perkeso perlu mengkaji semula syarat mencarum dan mungkin mereka boleh melonggarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan agar golongan seperti kami dapat menerima manfaatnya," katanya. -- BERNAMA