Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menangguhkan prosiding siasatan tempatan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan berkata ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan Kerajaan Negeri Selangor untuk menangguhkan proses itu.

"Sebagai mematuhi perintah mahkamah itu, SPR akan menangguhkan prosiding siasatan tempatan bagi mendengar bantahan-bantahan terhadap Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan tersebut seperti mana arahan oleh mahkamah sehingga keputusan mengenainya dimuktamadkan," katanya pada Jumaat.

Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk menangguhkan siasatan SPR tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan dewan undangan negeri.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu setelah mendapati kerajaan negeri itu mengikut semua peraturan berkaitan permohonan berkenaan dan terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan itu.

Azizul juga berkata Kerajaan Selangor mempunyai hak untuk membantah cadangan persempadanan semula itu. Mahkamah membenarkan penangguhan itu sementara menunggu pendengaran permohonan semakan semula kehakiman Kerajaan Selangor pada 20 Jan 2017.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata sehingga hari ini, SPR telah menjalankan prosiding siasatan tempatan kali pertama bagi bantahan terhadap Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu kecuali Selangor.

Negeri-negeri yang terlibat ialah Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka, Kelantan dan Terengganu.

"Di Sabah pula telah selesai dijalankan pada 28 Okt dan notis pameran Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi negeri itu untuk kali kedua juga telah dipamerkan bermula pada 22 Nov hingga 21 Dis ini," katanya.

Mohd Hashim berkata SPR telah mendengar sebanyak 276 representasi bantahan yang layak mengikut undang-undang iaitu 13 bantahan bagi Sabah dan 263 bantahan bagi negeri-negeri Tanah Melayu kecuali Selangor sepanjang tempoh prosiding siasatan tempatan kali pertama itu dijalankan pada 23 Okt hingga hari ini.

"SPR telah dan akan memberi perhatian serta pertimbangan sewajarnya terhadap semua bantahan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan bantahan-bantahan tersebut akan dimaklumkan menerusi Pameran Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi negeri-negeri Tanah Melayu kali kedua yang mana notis mengenainya akan disiarkan di akhbar tempatan setelah segala urusan berkaitannya selesai," katanya.

Mohd Hashim berkata SPR bersikap terbuka dalam menjalankan tanggungjawabnya melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya di setiap negeri dengan adil dan mematuhi setiap peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. -- Bernama